Rasuah bukan melibatkan mana-mana kaum, sebaliknya perlu ditangani semua secara bersama – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kenyataan Presiden PAS berhubung dakwaan bahawa golongan bukan Islam adalah punca rasuah yang dikatakan menjadi perosak politik dan ekonomi negara adalah tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkauman.

 

“Abdul Hadi merupakan seorang tokoh (yang berkecimpung) dalam politik sejak berpuluh-puluh tahun, memang sebelum ini (beliau) pandang serius tentang isu rasuah tetapi sekarang ini (beliau) kaitkan dengan perkauman,” ujar Pengerusi DAP Pulau Pinang itu pada sidang media yang diadakan di Komtar dekat sini tengah hari ini.

 

Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong, masalah rasuah bukan melibatkan mana-mana kaum, sebaliknya perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak.

 

“Kita perlu melihat masalah rasuah di negara ini bukan berdasarkan isu perkauman sebaliknya sebagai isu kebangsaan dan sekiranya ia tidak ditangani, betullah, akan merosakkan negara kita ini.

 

Namun isu rasuah ini bukanlah melibatkan mana-mana kaum, budaya atau gaya hidup mahupun sikap ia perlu ditangani semua secara bersama, baik dalam sektor awam mahupun swasta.

 

“(Maka) tidak perlu (dikaitkan dengan mana-mana kaum) dan jika serius untuk memerangi isu penyelewengan kuasa, korupsi dan sebagainya, kita perang habis-habisan,” tegasnya yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Ditanya adakah kenyataan sebegitu dikeluarkan kerana pilihan raya umum semakin hampir, Kon Yeow memberitahu bahawa kenyataan sedemikian hanya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Abdul Hadi.

 

Terdahulu, Abdul Hadi dikatakan membuat kenyataan bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti yang menjadi perosak politik dan ekonomi negara.