GEORGE TOWN – Produk SirehMAX® diperkenalkan sebagai makanan tambahan ternakan akuakultur yang terbukti merencat pertumbuhan bakteria gram positif dan gram negatif serta parasit ikan.
Menerusi produk tersebut, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol memaklumkan ia juga mampu meningkatkan tahap kesihatan dan daya tahan ternakan sehingga 80 hingga 90 peratus.
“Inisiatif ini selari dengan tuntutan global untuk mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik dan mengarusperdanakan rawatan organik serta amalan akuakultur bertanggungjawab demi jaminan makanan negara dan akses pasaran eksport.
“Bagi menyusun ekosistem akuakultur secara tersusun, lima kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) telah diwartakan pada 24 Julai 2024 iaitu perairan Sungai Udang, Pulau Aman, Batu Maung, Pulau Betong dan Pulau Jerejak.
“Seiring penyusunan semula industri, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) turut berhasrat mengenal pasti tapak strategik baharu untuk diwartakan sebagai ZIA, bagi meningkatkan kawasan pengeluaran, memperkukuh rantaian bekalan dan menjamin kelestarian pembangunan akuakultur jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas di sini sebentar tadi.
Bagi projek ikan sangkar, Kerajaan Negeri juga komited menyokong projek perintis solusi moden menggantikan sangkar kayu tradisional dengan sangkar polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang lebih kukuh, selamat dan produktif.
“Sangkar berdiameter 19 meter dan kedalaman lima meter ini sesuai bagi spesies bernilai tinggi seperti bawal emas, kerapu, jenahak dan siakap. Untuk projek perintis, ternakan bawal emas selama enam bulan dilaksanakan.
“Satu sangkar mampu menghasilkan 16 tan ikan dengan pulangan pelaburan hampir 48 peratus, bersandarkan kos operasi RM238,000 serta nilai hasil sekitar RM352,000.
“Selain pulangan yang tinggi, sangkar HDPE menjamin ketahanan struktur, kos penyelenggaraan rendah dan tempoh operasi melebihi tiga tahun menjadikannya pilihan terbaik untuk industri ternakan laut berskala komersial,” jelasnya lagi.
Serentak dengan itu, Fahmi memaklumkan Kerajaan Negeri bersama jabatan dan agensi berkaitan sentiasa komited memperkukuh industri perikanan dan akuakultur di Pulau Pinang, demi kesejahteraan komuniti nelayan dan rantaian nilai perikanan yang lebih kukuh.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT