Reaksi umum cadangan naikkan caj beg plastik kepada 50 sen

PULAU Pinang bercadang untuk menaikkan caj beg plastik daripada RM0.20 kepada RM0.50 seunit sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan tersebut.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata bahawa usaha tersebut merupakan salah satu kaedah bagi menampung kos pengurusan sisa beg plastik, sekaligus menjamin kelestarian alam sekitar.

Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menyokong cadangan tersebut, selaras dengan visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

Wartawan Buletin Mutiara, SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN berkesempatan menemubual beberapa orang penduduk untuk mendapatkan pandangan berhubung cadangan tersebut.

APA KATA MEREKA?

S. RAJINDRAN, 37, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi kawasan Pengkalan Weld mengesyorkan supaya Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menghasilkan beg kain ‘fabric bag’ dan memberi secara percuma kepada orang ramai.

S. Rajindran.

Kaedah itu, katanya, lebih sesuai berbanding menaikkan caj beg plastik.

“Kain-kain yang tidak digunakan boleh dikitar semula sebagai beg kain dan beg ini boleh digunakan dalam jangka masa panjang seperti beg IKEA.

“Kerajaan boleh bekerjasama dengan kilang-kilang yang menghasil kain dan memproses beg kain dalam saiz besar kerana beg ini boleh digunakan untuk beberapa tahun,” sarannya.

Sementera itu, NURAZLINA AZAD KHHAN, 42, seorang tukang kasut pula kurang bersetuju terhadap cadangan terssebut kerana menyifatkan langkat tersebut tidak akan menyelesaikan masalah penggunaan beg plastik secara total.

Nurazlina Azad Khhan.

“Harga beg plastik sekarang sudah mahal walaupun ia hanya RM0.20… bagi mereka yang kurang mampu mereka sanggup membayar tapi bagi yang berpendapatan rendah mereka memilih untuk membawa beg kitar semula atau plastik sendiri.

“Adakalanya masyarakat akan mengambil sikap sambil lewa dan sanggup menghulurkan sahaja RM0.50 kerana penggunaan beg plastik dapat memudahkan urusan mereka semasa membeli-belah.

“Oleh itu, saya cadangkan kepada warga negeri untuk membawa beg plastik sendiri dengan meletakkan ia di dalam poket atau dalam beg tangan untuk memudahkan urusan mereka tanpa membebankan alam sekitar,” ujarnya lagi.

Bagi NG KAN WENG, 83, seorang pesara bersetuju terhadap cadangan tersebut dan menyatakan bahawa beliau sentiasa menggunakan beg kitar semula semasa membeli-belah kerana caj beg plastik sebanyak RM0.50 sangat mahal.

Ng Kan Weng.

“Idea ini akan memberi kesan ketara kepada pengguna bahkan peniaga yang menjalankan perniagaan.

“Sememangnya idea ini akan mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyat kerana setiap kali membeli-belah mereka akan fikir beberapa kali sebelum membeli plastik,” maklumnya.

R. THARMARAJAN, 46, penyelia dekat Pasaraya Gama menyatakan Kerajaan Negeri boleh menaikkan caj beg plastik kepada harga yang lebih berpatutan seperti RM0.30 dan bukannya RM0.50.

R. Tharmarajan.

“Kenaikan tersebut kemungkinan tidak memberi apa-apa kesan kepada golongan berpendapatan tinggi tetapi kepada golongan berpendapatan rendah, RM0.50 adalah tinggi.

“Kadang-kadang ada pelanggan yang terlupa membawa beg plastik sendiri dan meminta kotak daripada pekerja pasar raya untuk meletakkan barangan yang dibeli,” jelasnya.

Nada sama diutarakan oleh MAT ABDUL RAHIM, 79, pemandu teksi yang nyata tidak bersetuju terhadap cadangan kenaikan caj beg plastik berkenaan.

Mat Abdul Rahim.

“Sudahlah rakyat susah…dengan kenaikan harga beg plastik mereka akan lebih susah,” ujarnya.

CHANDRASEGARAN, 60, yang juga seorang pemandu teksi pula bersetuju terhadap cadangan kerana beliau berpendapat langkah itu mampu mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri ini.

Chandrasegaran.

“Saya sendiri akan bawa beg kitar semula atau beg plastik sendiri semasa beli-belah.

“Oleh itu, saya sarankan kepada orang ramai untuk membawa beg plastik masing-masing demi masa depan generasi akan datang.

“Jika harga naik kepada RM0.50, penggunaan beg plastik ini akan berkurangan dan mesti mereka memilih untuk bawa beg sendiri,” maklumnya.

Manakala bagi TAN CHIU PENG, 37, berkata, beliau memilih menggunakan lebih banyak beg kitar semula sekiranya caj beg plastik dinaikkan.

Tan Chiu Peng.

“Saya sentiasa bawa beg kitar semula kerana ia akan menjimatkan perbelanjaan.

“Idea Kerajaan Negeri ini sangat baik berikutan ramai dalam kalangan kita banyak menggunakan beg plastik.

“Jadi kita perlu hentikan penggunaan beg plastik dan mula membawa beg kitar semula semasa beli-belah,” katanya sambil menambah Pulau Pinang berpotensi menjadi sebuah negeri bersih dan hijau sekiranya cadangan itu dilaksanakan kelak.

OOI CHUN CHOON, 72, pesara, pula berharap agar Kerajaan Negeri menutup kilang-kilang yang menghasilkan plastik dan bukannya menaikkan harga beg plastik.

Ooi Chun Choon.

“Walaupun harga mungkin akan naik kepada RM0.50, masih akan ada orang yang sanggup menyumbang wang tersebut kerana kadang-kadang kita tidak ada niat nak pergi pasar raya atau terlupa membawa beg plastik,” ulasnya.

T. RAJAESWARI, 21, juruwang pula berharap agar harga beg plastik akan terus dikekalkan pada RM0.20.

Rajaeswari.

“Peningkatan harga beg plastik daripada RM0.20 kepada RM0.50 amat mahal dan akan memberi kesan kepada golongan yang berpendapatan rendah,” ujarnya lagi.

Gambar : LAW SUUN TING