DARI bilik darjah ke ruang awam, daripada kesedaran tentang kelestarian alam sekitar hingga keharmonian dan kesejahteraan komuniti, semua usaha dalam membina bandar raya berjiwa rakyat tidak berlaku sekelip mata.
Namun, melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan awam secara konsisten sepanjang tahun 2025, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuktikan bahawa perubahan sebenar bermula dengan mendengar suara rakyat serta mendekati realiti kehidupan seharian mereka.
Sebanyak 18 inisiatif di bawah Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam MBPP berjaya direalisasikan hasil kerjasama berterusan bersama rakan strategik termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat.
Ahli Majlis MBPP, Benji Ang Ming Quan berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam, impak pendidikan awam mungkin tidak sentiasa mendapat perhatian umum, namun kesannya dirasai secara langsung dalam kehidupan harian masyarakat.
Oleh itu, saya mengambil langkah memperkenal elemen EPF iaitu Education (Pendidikan), Public Awareness (Kesedaran Awam) dan Fun (Keseronokan) dalam jawatankuasa tersebut.
“Ia bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sering dilihat hanya melalui aspek penguatkuasaan seperti rampasan, kompaun dan komisen,” ujarnya ketika ditemui dalam wawancara khas di Komtar, pagi ini.

Kesemua inisiatif ini, jelas Ming Quan dirangkumkan menerusi penganjuran edisi kedua Hari Pendidikan Awam MBPP pada 15 November 2025.
“Penganjuran ini memberi peluang kepada setiap jabatan MBPP mempamerkan perkhidmatan masing-masing serta berinteraksi secara langsung dengan orang awam di reruai yang disediakan.
“Antara pencapaian paling memberangsangkan adalah promosi aplikasi mudah alih Pearl One Touch Penang atau Pearl Apps yang berjaya mencapai sasaran hebahan kepada masyarakat.
“Malah, Datuk Bandar ada menyuarakan hasrat untuk menjadikan Hari Pendidikan Awam sebagai program tahunan yang menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan dalam membina bandar raya yang inklusif, lestari dan berteraskan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, salah satu faktor kejayaan dalam melaksanakan sesuatu inisiatif yang merangkumi peringkat sekolah, komuniti dan ruang awam adalah melalui kolaborasi sama ada dengan badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan ataupun persatuan-persatuan yang ada di negeri ini.
Sebagai contoh, kerjasama bersama Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menerusi Program Transformasi Sekolah Ke Arah Lestari (TASKAL) berjaya memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.
“Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Sekolah Hijau yang memberi penekanan terhadap pendidikan alam sekitar dan pengasingan sisa di punca melalui sistem penarafan bintang,” jelasnya.
Difahamkan, jawatankuasa ini juga aktif bekerjasama dengan pertubuhan belia, persatuan alumni serta Jawatankuasa Kecil Kesesakan Lalu Lintas Sekolah bagi menyebarkan maklumat keselamatan jalan raya kepada pelajar.
Selain itu, katanya lagi, Program ‘A Day as a City Councillor’ yang dilaksanakan secara bersama dengan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dilihat berupaya membuka mata masyarakat terhadap tanggungjawab dan fungsi kerajaan tempatan.
“Melalui program ini, setiap jawatankuasa dalam MBPP akan mengambil bahagian malah Exco Kerajaan Tempatan dan Datuk Bandar turut menunjukkan sokongan terhadap program ini,” katanya yang yakin bahawa program-program ini adalah legasi yang terbaik yang pernah dilaksanakan pada peringkat PBT tersebut.
Menyentuh mengenai Program Kitar Semula Beg Beras Plastik, Ming Quan memaklumkan bahawa program tersebut adalah hasil buah fikiran Chan Soon Aun atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chan dalam kalangan rakan sepejawatan Ahli Majlis.
“Melalui kolaborasi dengan syarikat Jasmine Food Corporation program ini menggalakkan orang awam mengumpul beg beras kosong untuk dikitar semula.
“Bagi memperkukuh agenda kelestarian, Program ‘Bring Your Own Container’ turut dilaksanakan dengan jayanya di dua lokasi melalui kerjasama Pertubuhan Wanita Mutiara,” jelasnya.
Antara inisiatif lain, kata Ming Quan adalah penghasilan video pertama pengambilan penguat kuasa MBPP bagi menarik minat orang awam menyertai perkhidmatan bandar, selain video kesedaran pemasangan perangkap minyak untuk pengusaha premis makanan.
“MBPP juga menghasilkan video pendidikan berkaitan pengurusan kenderaan usang dan terbiar serta Kempen Zon Larangan Menunggu bagi menambah baik ketertiban lalu lintas,” katanya yang sentiasa memberi komitmen lebih 100 peratus.
Pada peringkat komuniti, tambah Ming Quan lagi, pihaknya turut menganjurkan pelbagai program seperti pembukaan trek balapan Stadium Bandaraya secara percuma bagi membudayakan sukan untuk semua.
“Ini termasuk usaha mempromosikan perkhidmatan bas perantara percuma ke Hospital Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan di kawasan hospital dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) melalui Gender Responsive and Participatory Budgeting,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Ming Quan berharap segala inisiatif yang telah dilaksanakan ini akan terus memperkukuh pendidikan awam sebagai sebahagian daripada tadbir urus bandar bagi memastikan Pulau Pinang berkembang bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga nilai kemanusiaan dan kesedaran sosial warganya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada barisan Ahli Majlis yang bakal dilantik pada tahun hadapan agar berani bertindak, sentiasa bersedia dan memikul tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Saya percaya melalui gabungan pendidikan, penguatkuasaan dan undang-undang, pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun berdepan cabaran dalam mendidik masyarakat,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
—