Reben merah sebagai tanda penghargaan, terima kasih barisan jururawat

Admin

GEORGE TOWN – Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini pastinya mencatat sejarah bermakna terhadap mereka yang bergelar jururawat di seluruh dunia, khususnya di Pulau Pinang.

Ini kerana, golongan jururawat merupakan antara ‘benteng’ hadapan yang tidak jemu dan sentiasa bertungkus-lumus membendung penularan COVID-19 sehingga kini.

Mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 5,636 jururawat bertugas di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Selamat Hari Jururawat Antarabangsa.

“Sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan para jururawat serta petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas menerangi bangunan ikonik Komtar dengan nyalaan lampu berwarna merah.

“Merah adalah simbol keberanian dan penghargaan tertinggi rakyat Pulau Pinang kepada semua jururawat serta pekerja perubatan barisan hadapan,” ujarnya pada majlis penghargaan kepada penyelia-penyelia jururawat negeri dan daerah di pejabat beliau dekat Komtar pagi tadi.

Bersama meraikan sambutan berkaitan, Kon Yeow turut mengenakan reben berwarna merah yang dipilih bersempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalid; Sin Lian Thye (Ketua Penyelia Jururawat Negeri); S. Yasothai (Penyelia Penyelia Jururawat Negeri (Kesihatan Awam)); Noraslinda Ab. Rashid (Penyelia Penyelia Jururawat Negeri (Perubatan)) dan Ketua-ketua Penyelia Jururawat Daerah.

Serentak itu, sebagai simbolik, Kon Yeow turut menyampaikan jambangan bunga mawar serta daisy merah kepada semua wakil-wakil yang hadir termasuk Asmayani.

Oleh : NORSHAHID YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: ALVIE CHENG