Rebut peluang saringan kesihatan percuma PeKa B40

Admin

 GEORGE TOWN – Saringan kesihatan percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 atau PeKa B40 bakal diadakan pada 18 Jun 2022 di tingkat bawah pasar raya 1st Avenue bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, program anjuran Pusat Khidmat ADUN Komtar adalah bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit.

 

“Program ini diadakan dengan kerjasama pihak swasta iaitu Klinik O2.

“Sekarang adalah masa yang sesuai bagi menggerakkan semula program-program kesihatan bukan COVID-19 untuk mengenal pasti tahap kesihatan rakyat terutama kumpulan B40.

 

“Sekurang-kurangnya mereka tahu tahap kandungan gula, tekanan darah dan lain-lain saringan ujian perlu,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Macalister, Dato’ Cheah Sze Phatt; Pengurus Operasi Klinik O2, Dr. Ong Kong Seng dan Koordinator Program, Humairah Mohd. Yassin.

 

Mengulas lanjut, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu memaklumkan bahawa setakat 31 Mei 2022, hanya 10.5 peratus atau lebih kurang 620,000 daripada 5.9 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 telah memanfaatkan Skim PeKa B40 ini.

“Pejabat saya juga mempunyai sejumlah nama yang layak untuk disaring, namun program ini masih dibuka untuk memberi peluang kepada mereka (kumpulan B40) yang masih tidak tahu mengenai skim ini untuk mendapatkan saringan kesihatan percuma,” katanya.

 

Dalam pada itu, Kong Seng ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa melalui saringan yang dibuat orang ramai dapat memeriksa keadaan buah pinggang, paras kolesterol, ujian HBA1C (purata kandungan gula), air kencing, tekanan darah, indeks jisim tubuh (BMI) termasuk kanser payudara dan kanser prostat.

“Keputusan akan dimaklumkan selepas satu atau dua minggu, mereka juga boleh datang terus ke klinik untuk penerangan semula atau boleh kunjungi pameran seterusnya yang akan dimaklumkan kelak.

“Jika mempunyai penyakit dan memerlukan rawatan pihak kami akan menulis surat bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan lanjut di mana-mana hospital kerajaan atau datang ke Klinik O2,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan ujian kesihatan percuma tersebut, sila isi maklumat di pautan Google Form https://forms.gle/YbOuiXFoJaoVdxVH6 atau datang terus ke tingkat bawah 1st Avenue pada penganjuran program berkaitan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : WONG SOOK SHYAN