REHDA, BNM bincang kurangkan kadar faedah pinjaman kepada pembeli rumah pertama – Exco

GEORGE TOWN – Pelbagai langkah diambil oleh Kerajaan Negeri bersama-sama pihak berkepentingan dalam sektor perumahan bagi merangsang pertumbuhan sektor hartanah di negeri ini.

Terbaru, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, satu perbincangan mengenai cadangan untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada pembeli rumah pertama telah diadakan  antara Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Terdapat perbincangan antara pihak REHDA dan Bank Negara Malaysia yang difahamkan telah pun hampir mencapai kata muktamad.

“Beberapa cadangan diberikan iaitu mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada pembeli rumah pertama terutama rumah mampu milik serta tempoh masa pinjaman dipanjangkan agar bayaran balik akan menjadi berkurangan,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkaitan pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Pengerusi REHDA Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong; Naib Presiden Fiabci Malaysia, Tan Sri Alex Ooi Kee Liang serta Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang, Leon Lee.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memaklumkan bahawa isu kadar penolakan pinjaman yang tinggi terutama bagi pembeli rumah pertama di negara ini juga telah diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutan.

“Isu kadar penolakan pinjaman yang tinggi terutama bagi pembeli rumah mampu milik pertama menjadi cabaran utama dalam sektor hartanah sejak dari dahulu lagi.

“Malangnya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, tiada langkah-langkah diambil bagi mengatasi isu ini.

“Walau bagaimanapun, di bawah kerajaan baru (Pakatan Harapan) dilihat ada langkah-langkah diambil sepertimana pengumuman oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini iaitu pengecualian duti setem diberikan kepada beberapa transaksi yang berlaku.

“Dan saya percaya langkah ini akan merangsangkan lagi sektor hartanah di seluruh malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik milik bagi pembelian rumah pertama berharga antara RM300,001 hingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari 2019.

Langkah itu, menurut Guan Eng, adalah sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan yang mana pemaju akan menawarkan potongan diskaun 10 peratus ke atas harga hartanah kediaman projek sedia ada.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN