Rehatkan Wan Rohaimi bukan keputusan terburu-buru — Exco

Admin
27dc29e5 6ad1 41a2 b3a2 fe32ddc2a55c

GEORGE TOWN — Tindakan pengurusan Penang FC merehatkan Wan Rohaimi Wan Ismail daripada tugas selaku Ketua Jurulatih berkuat kuasa serta-merta bukan satu keputusan terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut perancangan teknikal demi memulihkan prestasi pasukan bola sepak negeri.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Si Sen menegaskan bahawa tindakan itu terpaksa diambil selepas kelab Harimau Kumbang mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut, termasuk tewas 1–2 kepada Melaka FC dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, semalam.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang menjelaskan bahawa pihak pengurusan kelab telah beberapa kali menyampaikan teguran serta mengenal pasti beberapa kelemahan teknikal untuk ditambah baik, namun tiada sebarang perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pasukan sehingga kini.

“Ini bukanlah keputusan yang terburu-buru, sebaliknya sebahagian daripada perancangan teknikal Ahli Lembaga Pengarah.

“Kita mempunyai ekspektasi yang wajar bagi pasukan negeri dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Jurulatih sebelum ini.

“Namun, berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pada awal musim, kedudukan pasukan kini agak sukar dan jauh daripada sasaran.

“Kita tidak mempunyai banyak pilihan melainkan merehatkan beliau buat masa ini,” katanya ketika ditemui wartawan di lobi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2 November 2026.

Ekoran tindakan tersebut, jelas Zi Sen lagi, tugas membimbing dan mempersiapkan skuad Pulau Pinang diserahkan sepenuhnya kepada Pengarah Teknikal kelab, Victor Andrag, secara sementara.

Menurutnya, Victor Andrag bakal mengalas tanggungjawab utama untuk mempersiapkan pasukan menjelang aksi menentang KL City di Kuala Lumpur pada 22 November ini.

Mengulas mengenai kedudukan Wan Rohaimi, Daniel Gooi menjelaskan bahawa kontrak jurulatih berkenaan sememangnya dijadualkan tamat pada Disember ini dan bergantung kepada pencapaian pasukan.

Buat masa ini, beliau menambah, pertukaran hanya melibatkan jawatan Ketua Jurulatih sahaja, manakala perancangan pelantikan jurulatih baharu atau perombakan lanjut akan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah kelab yang dijadualkan berlangsung sejurus selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 selesai.

“Saya ingin menegaskan bahawa kelab ini jauh lebih besar daripada mana-mana individu (yang mana) kita akan mengambil segala tindakan yang wajar untuk memastikan prestasi kelab mencapai sasaran, terutamanya bagi membalas sokongan padu yang diberikan oleh para penyokong Harimau Kumbang,” tambah beliau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING