Rekod prestasi, ekosistem industri Pulau Pinang kukuh jadi daya penarik pelaburan berkualiti

Admin

PULAU PINANG terus berada pada landasan yang kukuh apabila berjaya menarik kemasukan pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi sepanjang tahun lalu meskipun cabaran ekonomi global masih dalam ketidaktentuan.

 

Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang mencatatkan RM13.7 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada Januari hingga Disember 2022 melibatkan aliran masuk 135 projek dan dijangka menjana 15,752 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

 

Jumlah pelaburan ini didorong oleh pertumbuhan positif industri elektronik dan elektrik (E&E); jentera dan peralatan (M&E); saintifik dan perubatan serta peralatan industri yang menyumbang 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk negeri ini untuk tahun 2022 atau bersamaan 27 peratus daripada pelaburan Malaysia bagi sektor-sektor tersebut.

 

Pelaburan langsung asing (FDI) pula dicatatkan sebanyak RM9.7 bilion atau 71 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan bagi tahun 2022 yang mana baki RM4 bilion atau 29 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI). Hal ini menjadikan Pulau Pinang penyumbang kedua tertinggi, iaitu meyumbang 16 peratus pelaburan pembuatan diluluskan dalam negara tahun lepas.

 

Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI cuba mendapatkan reaksi daripada pemain industri tempatan berhubung pencapaian Pulau Pinang yang terus membina reputasi kukuh selama lebih 50 tahun kecemerlangan dalam industri.

 

LEE Kah Choon.

Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri, DATO’ SERI LEE KAH CHOON percaya Pulau Pinang akan terus mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi dan konfigurasi semula rantaian bekalan.

 

Hal ini kerana, ekosistem yang kukuh dan rekod prestasi yang baik dalam menarik pelaburan.

 

“Selain itu, Pulau Pinang juga mempunyai dasar-dasar strategik dan pelaksanaan (dasar tersebut) pantas yang menjadi penyumbang utama dalam membolehkan kita (Pulau Pinang) merebut peluang yang ada dalam ‘megatrend’,” katanya sebagai dipetik melalui kenyataannya baru-baru ini.

 

LOO Lee Lian.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, DATO’ LOO LEE LIAN ketika dihubungi berkata, prestasi membanggakan dalam pelaburan pembuatan di Pulau Pinang tahun lalu menunjukkan bahawa negeri ini terus menarik penyertaan aktif pelabur baharu yang berpotensi tinggi.

 

“Ia juga menggambarkan reputasi yang amat baik dengan kejayaan industri selama 50 tahun yang dikecapi bersama-sama para pelabur sedia ada.

 

 

(Dan) bagi pasukan InvestPenang, pastinya kami amat komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik secara konsisten terutama kepada para pelabur kami.

 

InvestPenang akan terus bekerja keras untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelaburan berkualiti tinggi,” katanya.

 

CHOONG Khuat Seng.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), DATUK FINN CHOONG KHUAT SENG pula teruja dengan perkembangan semasa pelaburan Pulau Pinang walaupun berdepan masa sukar ekonomi global ketika ini.

 

“Kita mesti mengambil kira bahawa peratusan masuk pelaburan ke negeri ini adalah disebabkan keadaan geopolitik dunia selain ekosistem unggul yang ditawarkan oleh Pulau Pinang kepada industri.

 

Malah, kita juga memerlukan pelaburan semula (daripada pelabur sedia ada) dengan merancang serta mengekalkan kelebihan yang dimiliki dalam ‘mengejar’ pelaburan berpotensi untuk masa hadapan.

 

“(Dan) pastinya pemimpin di negeri ini mesti sedar untuk terus mengekalkan momentum bagi jangka panjang kerana pelaburan asing ini sangat ‘cair’, mudah datang dan mudah juga pergi.

 

“Jadi, Pulau Pinang perlu bertindak balas dengan pantas serta merancang untuk bertindak balas dengan situasi semasa, apapun, tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta agensi-agensi lain yang turut sama-sama merealisasikan pencapaian yang membanggakan ini,” jelasnya.

MARCEL WISMER yang dihubungi melalui panggilan telefon memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas usaha yang berterusan untuk terus mencapai pencapaian membanggakan dalam pelaburan.

 

Pastinya dari segi pelaburan walaupun dalam keadaan tidak menentu ekonomi global tahun lalu, para pelabur terus yakin untuk mengukuhkan pelaburan di negeri ini.

 

“Hal ini kerana, kami (para pelabur) melihat ‘kekuatan’ yang luar biasa dalam industri Pulau Pinang terutama dalam pembuatan berteknologi tinggi dan percaya bahawa Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik untuk menarik pelaburan asing.

 

“(Dan) pada masa sama, memastikan syarikat-syarikat pelabur asing ini berasa selesa di Pulau Pinang. Saya harap prestasi sebegini akan berterusan untuk tahun 2023 ini, syabas Pulau Pinang,” zahir Ketua Pegawai Eksekutif Kemikon Sdn. Bhd. itu.

 

LEE Teong Li.

Pengerusi Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, DATUK LEE TEONG LI juga menzahirkan ucapan syabas atas kejayaan Pulau Pinang merekodkan pelaburan RM13.7 bilion pada tahun lepas.

 

Beliau percaya, Pulau Pinang akan terus mencatatkan aliran masuk FDI yang stabil ekoran keyakinan para pelaburan terhadap negeri ini.

 

 

Kedua-dua pelaburan (FDI dan DDI) akan berterusan jika dilihat pencapaian sejak 50 tahun lepas, Pulau Pinang secara konsisten membangunkan infrastruktur dan bakat untuk industri.

 

“Oleh hal yang demikian, kita akan terus memikat dan menarik masuk lebih banyak syarikat berteknologi tinggi pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam kenyataannya pada 15 Mac lalu menyatakan bahawa prestasi ekonomi Pulau Pinang membuktikan keyakinan berterusan para pelabur di negeri ini.

 

“Pulau Pinang menonjol sebagai destinasi pelaburan yang sangat menarik dengan industri dinamik dan berdaya tahan yang disokong oleh kumpulan bakat berkelayakan tinggi.

 

Kerajaan Negeri pastinya akan terus mengalu-alukan pelaburan strategik kerana kita berhasrat untuk memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai hab teknologi perubatan canggih di Asia.

 

“(Dan) setinggi penghargaan kepada semua pelabur atas keyakinan mereka terhadap Pulau Pinang serta MIDA dan InvestPenang atas kerjasama yang kondusif,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi.