Segerakan pembinaan Masjid Bandaraya Seberang Perai, kata Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kanan) diiringi Goh Choon Aik (dua dari kanan) dan seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) semasa acara agihan pek bubur lambuk kepada komuniti lokal di Surau Al-Falah Bandar Cassia Batu Kawan di sini pada 2 April 2023.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap cadangan pembinaan masjid baharu di Bandar Batu Kawan bagi memenuhi keperluan umat Islam di kawasan tersebut dapat disegerakan oleh pihak-pihak berwajib.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Bajet 2023 Pulau Pinang pada hujung bulan November tahun lepas antara lain telah meluluskan peruntukan berjumlah RM18 juta bagi pembinaan tujuh masjid baharu termasuk Masjid Bandaraya Seberang Perai dekat Bandar Cassia di sini.

SEMASA berucap Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pengundi lokal yang memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan yang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Agihan Bubur Lambuk di perkarangan Surau Al-Falah Bandar Cassia Batu Kawan dekat sini pada 2 April 2023.

“Berhubung cadangan pembinaan Masjid Bandaraya (Seberang Perai) di Bandar Cassia ini, setelah berbincang, saya mencadangkan jangan menunggu peruntukan dari(pada) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kerajaan Negeri putuskan untuk membiayai pembinaan (Masjid Bandaraya Seberang Perai) itu…keputusan dasar sudah dibuat, diharap pihak MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) akan ambil tindakan susulan.

“(Ini kerana,) keperluan yang begitu mendesak di semua surau dapat ditangani dengan pembinaan Masjid (Bandaraya Seberang Perai) baru,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan bahawa pihaknya berharap semua surau yang ada masih terus memainkan peranan sedia ada mengikut keperluan komuniti setempat sungguhpun Masjid Bandaraya Seberang Perai di Bandar Cassia siap kelak.

Turut berucap, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengerusi Kariah Bandar Cassia Batu Kawan, Rosli Osman.

KETUA Menteri (empat dari kiri) menerima surat permohonan projek penarafan lantai luar dewan solat Surau Al-Falah Bandar Cassia daripada Rosli Osman sambil disaksikan oleh Goh Choon Aik (enam dari kiri) dan beberapa pemimpin komuniti lokal di sini tadi.

Pada majlis sama, Rosli turut menyerahkan surat permohonan peruntukan projek penarafan lantai luar dewan solat Surau Bandar Cassia Batu Kawan kepada Kon Yeow.

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain mengadakan lawatan tapak projek cadangan pembinaan Masjid Bandaraya Seberang Perai pada 13 Januari lepas.

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow memberitahu bahawa fasa pertama projek tersebut telah dimulakan iaitu kerja-kerja tanah bagi penyediaan tapak.

Menurut beliau, projek pembinaan masjid bandaraya tersebut adalah salah satu syarat oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk perakuan siap dan pematuhan (CCC) bagi pembangunan Pangsapuri Suria 1 Batu Kawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS