Rempuhan jejantas pejalan kaki, siasatan giat dijalankan

Admin

GEORGE TOWN – Jejantas pejalan kaki berdekatan terminal feri di Pangkalan Raja Tun Uda yang terlibat dalam insiden rempuhan semalam didapati tidak lagi selamat digunakan.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, selepas insiden rempuhan yang berlaku pada 5 Februari (2020), jejantas pejalan kaki yang menjadi ikon Pulau Pinang selama 45 tahun tersebut didapati tidak selamat digunakan dan perlu dirobohkan.

 

KEADAAN jejantas pejalan kaki yang mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan treler pada 5 Februari 2020.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya bersyukur kerana tiada insiden yang membabitkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan.

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) memandang serius insiden yang berlaku kerana kemungkinan berlaku kecuaian dan sebagainya.

 

“Oleh itu, saya berharap siasatan dapat dijalankan segera bagi membawa pelaku ke muka pengadilan,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

 

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran.

 

Ditanya sama ada pihak Kerajaan Negeri atau MBPP berniat untuk membina semula jejantas pejalan kaki tersebut, Jagdeep memberitahu bahawa buat masa ini Kerajaan Negeri mempunyai perancangan lain bagi kawasan sekitar Weld Quay.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) mempunyai perancangan lebih besar yang merangkumi kawasan di sekitar kawasan tersebut.

 

“(Dan) insiden yang berlaku ini tidak terduga dan kita akan melihatnya semula,” responsnya.

 

AR. Yew Tung Seang.

Dalam pada itu, Tung Seang memaklumkan bahawa siasatan terhadap insiden ini sedang dijalankan.

 

“Insiden ini merupakan suatu kehilangan monumen bersejarah dan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya, jejantas tersebut terpaksa dirobohkan segera.

 

“Buat masa ini, pihak MBPP akan membina lintasan pejalan kaki sebagai langkah keselamatan jangka pendek bagi memberi kemudahan kepada pejalan kaki untuk melintas jalan ke terminal feri dan sebaliknya,” katanya.

 

Tambah Tung Seang, pihaknya kini sedang mengumpul semua data termasuk kos kerosakan, ganti rugi dan kos membina semula jejantas tersebut sebagai tuntutan kepada pihak yang bertanggungjawab.

 

“Sebagai ‘pemilik’ jejantas pejalan kaki tersebut, MBPP juga telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku supaya pihak polis boleh melakukan siasatan termasuk terhadap pemandu treler berkaitan,” tegasnya.

 

Serentak itu, Boon Poh memuji tindakan pantas MBPP dalam menangani insiden tersebut kurang daripada 24 jam.

 

GAMBAR menunjukkan jejantas pejalan kaki yang dibina pada 1975.

Semalam, sebuah treler yang membawa kren dilaporkan tersangkut di bawah jejantas pejalan kaki. Akibat rempuhan itu, struktur jejantas tersebut mengalami kerosakan teruk dan hampir tercabut.

 

Sebagai rekod, jejantas pejalan kaki yang berukuran 105 kaki panjang itu merupakan yang pertama dibina di Pulau Pinang pada tahun 1975 dengan kos pembinaan sebanyak RM180,000 ketika itu.

 

Pembinaan jejantas pejalan kaki itu adalah sebahagian daripada projek pembesaran terminal jeti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) pada tahun tersebut.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD