Responden puji Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1, cadang perluas kepada guru KAFA

MACHANG BUBUK – Pada 17 Februari lalu, Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 dengan implikasi kewangan sejumlah RM8,412,924 kepada 22,871 penerima.

Semasa mengumumkan perkara tersebut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa kelompok yang mendapat manfaat pakej tersebut antaranya adalah guru-guru agama sekolah agama rakyat (SAR) di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Dianggarkan seramai 935 orang guru SAR akan mendapat Bantuan Khas Kewangan (BKK) secara ‘one-off’ RM500 seorang atau keseluruhannya melibatkan peruntukan RM467,500.
Pada petang tadi, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas awam mengenai usaha Kerajaan Negeri dalam membantu golongan paling terjejas semasa pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehingga 4 Mac depan.
MOHD. Hadzle Johari

Bagi MOHD. HADZLE JOHARI, 38, mudir sebuah madrasah menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.

Malah, beliau mencadangkan BKK kepada guru SAR diperluaskan juga kepada guru-guru agama yang terlibat dalam program Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA).
“Saya difahamkan bantuan tersebut hanya kepada guru-guru SAR sahaja, tidak termasuk guru-guru KAFA yang mengajar di ‘sekolah agama rakyat’.
“Justeru, memandangkan yang terjejas semasa PKP ini adalah guru-guru SAR, dicadangkan pakej bantuan prihatin rakyat yang diumumkan ini diperluaskan kepada guru-guru KAFA juga.
“Ini kerana, di SAR bukan sahaja ada guru agama, bahkan, guru agama yang hanya mengajar KAFA,” jelasnya semasa sesi tinjauan umum oleh wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 24 Februari 2021.
Beliau memberitahu bahawa rata-rata gaji guru KAFA adalah kecil kira-kira RM1,050 sahaja sebulan (selepas ditolak bayaran caruman berwajib).
Mengikut pecahan, beliau memberitahu RM1,000 gaji mereka dibayar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sementara baki RM150 dan RM50 lagi masing-masing ‘ditambah’ oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Kerajaan Negeri hari ini.
“Kalau ditanya kepada saya, sebelum PKP lagi, rata-rata golongan asatizah terutama ustaz mempunyai lebih satu pekerjaan (selain menjadi guru KAFA).
“Sekiranya Kerajaan Negeri memperluaskan BKK secara ‘one-off’ RM500 kepada guru-guru KAFA juga, ia sangat dialu-alukan,” jelasnya lagi, sambil memberitahu bahawa beliau telah menjadi tenaga pengajar KAFA kira-kira enam tahun.
MOHD. Hafiz Norazizan

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi guru KAFA, MOHD. HAFIZ NORAZIZAN, 36.

“Saya telah dipilih menjadi tenaga pengajar KAFA ini kira-kira enam tahun juga.
“Selain mengajar lima hari pada sebelah petang di SAR ini, saya ada kerja sampingan juga iaitu membuka kedai makan pada sebelah malam untuk menampung keperluan hidup sekeluarga.
“Sejak PKP 1.0, saya yakin ramai juga guru-guru agama yang ada lebih satu pekerjaan (selain menjadi guru KAFA) terjejas, tetapi masing-masing reda dan terus berusaha mengharungi kepayahan ini.
“Dengan gaji RM1,050 sebulan, saya bersyukur dipilih Allah untuk menjadi guru KAFA…Alhamdulillah.
“(Dan), sekiranya diperluas Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 yang sebelum ini untuk guru-guru SAR di bawah JHEAIPP kepada guru-guru KAFA, sangat membantu mereka yang terjejas,” jelasnya lagi.
NURUL Haniza Syafiqa Mohd. Halim

Seorang lagi responden, NURUL HANIZA SYAFIQA MOHD. HALIM, 21, turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Negeri untuk memberi BKK kepada guru-guru SAR.

“Pengumuman ini adalah simbol bahawa guru-guru agama di SAR juga turut menjadi perhatian di sini para pembuat dasar dalam Kerajaan Negeri.
“Dan sudah tentu Kerajaan Negeri mahu memastikan tidak ada langsung guru-guru agama di SAR tercicir daripada menerima BKK ini.
“Jadi, saya menyambut baik pengumuman Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 ini, dengan cadangan penambahbaikan (iaitu) pemberian BKK diperluaskan kepada guru KAFA juga,” jelasnya sambil memberitahu bahawa beliau telah menjadi guru KAFA selama lebih 2 tahun.
FARZANA Idris

Responden keempat, FARZANA IDRIS, 24 pula memberitahu bahawa beliau mengikuti pengumuman Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 pada minggu lepas, namun tidak pasti sama ada guru KAFA turut akan mendapat BKK RM500 secara ‘one-off’ atau sebaliknya.

“Saya tidak pasti…ada yang kata guru KAFA yang mengajar di SAR akan dapat bantuan ini, ada yang kata tidak dapat.
“kalau boleh, insentif kewangan itu diperluaskan kepada guru-guru KAFA yang terjejas juga,” katanya lagi yang telah bertugas sebagai guru KAFA lebih 2 tahun.
Responden kelima yang mahu dikenali sebagai “Ustazah Nor” pula, berkata, dengan memperluaskan BKK RM500 secara ‘one off’ kepada guru-guru KAFA di SAR, sekaligus akan menjadi simbol penghargaan Kerajaan Negeri hari ini kepada guru-guru agama.
“Elok diperluaskan, kerana ia bukan sahaja membantu guru-guru KAFA, bahkan akan menyerlahkan lagi usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan tidak ada golongan yang terjejas semasa PKP, daripada tercicir dalam senarai penerima BKK,” responsnya.