Responden setuju pentingnya pengambilan vaksin COVID-19

Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang telah bermula pada 19 April 2021.

Sebanyak lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan yang telah disediakan di seluruh negeri iaitu, Kompleks Masyarakat Penyayang, Kompleks Sukan Balik Pulau, Seberang Perai Arena, Dewan Milenium Kepala Batas dan Dewan Serbaguna Jawi.

Serentak itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru rakyat Pulau Pinang untuk memberikan sokongan untuk menjayakan program tersebut bagi mencapai sasaran 1.34 juta penduduk divaksinasi.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar LAW SUUN TING berkesempatan menemu bual beberapa responden untuk mendapatkan respons mereka mengenai program berkaitan.

Rogayah Ibrahim.

Bagi ROGAYAH IBRAHIM, 63, kebanyakan warga emas yang dikenalinya takut dan gentar untuk menerima vaksin dek kerana mendengar khabar angin yang negatif.

“Kita yang lebih memahami hendaklah turut memberi kesedaran bahawa pemberian vaksin ini adalah untuk memastikan kita kekal sihat di masa hadapan.

“Selain itu kita juga harus menekankan bahawa yang sebenarnya mungkin kita akan lebih sihat selepas menerima vaksin ini,” katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Nurul Najihah Zulkifli.

NURUL NAJIHAH ZULKIFLI, 23, pula menyuarakan pandangannya mengenai kepentingan pengambilan vaksin dan melihat tiada sebarang impak negatif terhadap mereka yang sudah mengambil dos pertama suntikan vaksin COVID-19.

“Pengambilan vaksin bagus dan kita haruslah percaya kepada kerajaan yang telah mengambil satu langkah lebih maju untuk menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat.

“Tambahan pula, pengambilan vaksin amat penting lagi-lagi jika kita mahu ke luar negara kerana ia merupakan syarat yang harus dipatuhi jika ingin memasuki negara lain,” jelas penuntut institusi pengajian awam itu lagi.

Zakaria Darus.

Sementara itu, penjual ikan di pasar awam, ZAKARIA DARUS, 60, turut menyokong pengambilan vaksin dan menganggap ia boleh melindungi diri kita daripada ancaman wabak COVID-19.

“Kebanyakan peniaga lain telah disahkan positif COVID-19, saya tidak mahu menerima nasib yang sama dan kelak perniagaan akan jatuh merudum.

“Tambahan pula, isteri saya seorang juruteknologi maklumat perubatan di Klinik Kesihatan Kulim juga telah divaksin dan berada dalam keadaan baik sahaja.

“Bahkan anak perempuan saya yang merupakan seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Kulim juga telah divaksin. Jadi, tidak dinafikan pengambilan vaksin ini dapat melindungi diri dari ancaman wabak penyakit COVID-19,” ujarnya yang sudah 40 tahun menjalankan perniagaan.

N. Ravi.

N. RAVI, 60, seorang penjual apom pula mengatakan beliau risau akan pengambilan vaksin ini kerana bimbang terhadap kesan yang bakal dihadapinya.
“Oleh itu, saya berharap agar diberikan masa tiga atau empat bulan kerana saya masih bimbang akan kesan sampingan setelah disuntik.

“Cepat atau lambat, saya rasa saya tidak mempunyai pilihan selain mendaftar kerana sekiranya tidak mendapat suntikan, kita mungkin tidak dibenarkan memasuki bank dan premis perniagaan serta melancong.

“Isteri saya (K. Kalamagai) yang bekerja sebagai jururawat di Island Hospital sendiri sudah mendapat dua suntikan manakala dan anak perempuan kami telah mendapat suntikan pertama,” jelasnya lagi.

Tan Teow Long.

Turut berkongsi pandangan sama ialah TAN TEOW LENG, 67, bekas ahli perniagaan mengatakan bahawa beliau tidak yakin 100 peratus untuk mengambil suntikan vaksin.

“Walaupun terdapat penyataan mengenai pengambilan vaksin adalah wajib, saya rasa pihak berkuasa tidak dapat memaksa orang untuk mengambil risiko tersebut.

“Di Eropah contohnya, mereka tidak memaksa warganegara untuk diberi vaksin,” ujarnya lagi.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING