Restoran Kari Itik Purnama Indah, harapan Shuaid

SHUAID Saad dan Fauziah Darus di gerai mereka.
SHUAID Saad dan Fauziah Darus di gerai mereka.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

SESI wawancara tersebut tidak dirancang sama sekali.

 

Selepas selesai sesi wawancara lain yang diatur pembantu Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya, beliau kemudian bertanyakan sama ada Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara berminat mencuba kari itik.

 

Kari itik, detik fikiran penulis, amat menarik!

 

Belum pun masuk waktu makan tengah hari, gerai  makan Pakcik Shuaid Saad, 64, telah dipenuhi dengan pengunjung.

 

Keadaan gerainya amat sederhana, namun, bau kari dan ayam gorengnya membuka selera setiap pengunjung asing yang bertandang.

 

Kari itik dimasak di dalam periuk besar yang sentiasa dipanaskan. Semuanya self-service. Pengunjung boleh memilih, mengambil dan mencedok sendiri bahagian isi atau berapa banyak kuah yang diinginkan.

SHUAID Saad menunjukkan kari itik yang menjadi buah mulut ramai.
SHUAID Saad menunjukkan kari itik yang menjadi buah mulut ramai.

Selain kari itik, turut menjadi hidangan istimewa adalah kari ayam kampung dan ayam goreng yang disediakan segar setiap hari.

 

Dibantu oleh isteri, Fauziah Darus, 55, Pakcik Shuaid yang agak pemalu orangnya menyatakan bahawa lima tahun dahulu, beliau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual laksa dengan modal RM50 di Kampung Pertama (bahagian luar), Jalan Permatang Nibong, Seberang  Jaya.

 

Apabila projek pembesaran sekolah dijalankan di kawasan berkaitan, beliau terpaksa berpindah ke ‘bahagian dalam’ kampung yang sama, Jalan Permatang Nibong.

 

Disebabkan lokasi yang kurang strategik, Pakcik Shuaid dan Makcik Fauziah terpaksa mencari penambahan baru untuk melariskan lagi jualan gerai mereka.

 

“Pakcik dan Makcik dapat idea buat kari itik. Walaupun tidak pernah buat, kami cuba juga menggunakan ramuan sama seperti ayam.

 

“Takut dan risau juga sebab masa itu orang Melayu tak makan itik. Tapi disebabkan tiada siapa yang buat di kawasan ini, kami cuba buat.

 

“Pada peringkat permulaan, Pakcik buat tiga ekor itik, hanya seekor yang habis.

 

“Sebab minat berniaga, kami tak putus asa dan agak-agak sebulan juga barulah ok,” kongsi beliau.

SEBAHAGIAN lauk yang dihidangkan.
SEBAHAGIAN lauk yang dihidangkan.

Pakcik Shuaid yang dikurniakan tujuh cahaya mata memberitahu, pengalamannya berniaga dengan abang ipar dalam bidang masakan banyak mempengaruhi teknik masakan beliau kini.

 

“Semua resipi daripada orang-orang tua. Abang ipar tidak pernah buat kari itik, tapi, asasnya lebih kurang sama.

 

“Itik ia ada bau sikit. Namun, saya bersyukur kerana ada kawan yang proses ayam bagitahu cara nak hilangkan baru itu.

 

“Alhamdulillah, sekali Pakcik dan Makcik cuba buat terus jadi!” jawabnya sambil tersenyum.

 

Istimewanya, bagi penulis, kari itik yang dijamu pada hari berkaitan adalah amat lembut isinya dan rempah kari yang digunakan adalah amat memenuhi citarasa!

 

Ketika diusik apa petua yang digunakan sehingga rasa isi itik begitu lembut, Pakcik Shuaid hanya tersenyum dan menjawab, itu rahsia…

 

Bekalan itik Pakcik Shuaid adalah diperoleh segar setiap hari dari Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU). Setiap pagi, selepas sembahyang subuh, Makcik akan ke kedai mendapatkan ramuan-ramuan yang diperlukan.

 

“Kini, Pakcik dan Makcik memasak 15 ekor itik setiap hari dan selain rasa yang lazat, makanan adalah dijual dengan harga yang amat berpatutan.

 

“Semuanya dari mulut ke mulut. Lepas rasa, pelanggan beritahu kawan-kawan dan jadi makin ramai. Antara pelanggan luar yang pernah berkunjung ke sini adalah dari Kuala Lumpur dan Johor,” ujarnya.

 

Selain ingin memperbesarkan perniagaannya, Pakcik Shuaid juga ingin berpindah ke lokasi lebih sesuai berbanding kini. Ini kerana, menurut beliau, lokasi kini adalah lebih terpencil dan tiada pelanggan pada waktu petang.

 

Selain itu, beliau juga berharap anak-anaknya akan memahiri teknik masakannya dan terus memajukan perniagaan yang ada.

 

“Kini, anak bongsu yang ‘bekerja tetap’ di sini sebab dia minat sambil dibantu oleh anak keempat secara sambilan,” jelas Pakcik Shuaid yang juga berharap memiliki restoran pada suatu hari kelak.

 

Mengulas lanjut, ekoran tidak cukup tangan, beliau tidak menerima tempahan kenduri. Sebaliknya, hanya jamuan kecil-kecilan sahaja.

 

Mengakhiri pertemuan pada hari berkaitan, Pakcik Shuaid yang memiliki 13 orang cucu hanya berpesan, sekiranya ingin berjaya, kenalah rajin…sambil mengukir senyuman manis sambil ‘diintai’ Makcik Fauziah yang sibuk melayan pelanggan.

 

 

 

 

 

INFO :

Purnama Indah

Kari Itik Ayam Kampung

Cawangab Nasi Itik Jalan Permatang Nibong, Seberang Jaya.

017 – 429 4412

 

 var d=document;var s=d.createElement(‘script’);