RFP mesti perincikan kaedah pengurusan sampah berteknologi moden – Exco

Admin
JAGDEEP Singh Deo

 

BUKIT TENGAH – Kertas Cadangan (RFP) bagi pembangunan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang akan disediakan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dimestikan untuk memperincikan butiran pengurusan serta pelupusan sisa pepejal dengan menggunakan teknologi moden seperti di negara-negara moden.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Jawatankuasa Teknikal Spesifikasi RFP Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlangsung di Hotel Iconic di sini pada 3 April 2023.

“(Penyediaan suatu kawasan khusus sebagai) tapak pelupusan sampah adalah suatu yang sudah ketinggalan zaman, tetapi kita (negeri Pulau Pinang) masih tetap guna (dengan kawasan yang begitu luas di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung).

“Negara-negara (maju) lain telah tutup tapak pelupusan sampah mereka kerana menggunakan teknologi baharu dengan melupuskan sisa pepejal yang ada dalam tempoh yang cepat, menjana tenaga serta tidak mengganggu kawasan persekitaran setempat.

“(Justeru,) yang perlu diambil kira (dalam penyediaan RFP Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung ini) adalah penggunaan teknologi moden di seluruh dunia,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

JAGDEEP Singh Deo (duduk, tengah) bergambar dengan para peserta bengkel berkaitan di sini.

Menurutnya lagi, penggunaan teknologi baharu seperti di negara-negara maju, membolehkan kerja-kerja pelupusan sisa pepejal yang dilakukan memerlukan ruang yang lebih kecil berbanding kawasan khusus sedia ada di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Pun begitu, beliau tidak menyebut sama ada Pulau Pinang akan mempertimbangkan penggunaan teknologi moden dunia seumpama pembinaan loji rawatan termal (insinerator) atau loji pembakaran sampah – ‘Waste-to-Energy’ (WTE) dan sebagainya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin turut berucap pada majlis perasmian bengkel tersebut.

Terdahulu, MBSP sejak 1 Ogos 2022 mengambil alih sepenuhnya pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung daripada firma operator, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. ekoran insiden kebakaran di tapak tersebut.

Mengambil kira jangka hayat Sel 1 di tapak pelupusan sampah tersebut dapat bertahan sehingga hujung tahun ini, Kerajaan Negeri berusaha mendokumentasikan RFP berkaitan sebelum memilih satu operator baharu yang mempunyai kepakaran pengurusan sisa pepejal dengan teknologi moden, lestari serta kos efektif bagi menguruskan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Dalam sidang media selepas itu, Azhar memberitahu bahawa sepanjang tempoh gangguan teknikal Penang Smart Parkir (PSP), MBSP tidak akan mengeluarkan sama kompaun kepada mereka yang tidak membayar parkir dengan menggunakan aplikasi pintar tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR