RFP projek pembaharuan semula Flat Taman Free School telah dibuka – Exco

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuka Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi projek pembaharuan semula Flat Taman Free School, di sini yang berusia hampir 40 tahun.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa skim perumahan yang didirikan pada tahun 1985 serta mengandungi 1,170 unit di hampir 20 blok itu akan dirobohkan dan dibina semula dengan tambahan lebih banyak unit kediaman.

“Kita melihat terdapat keperluan untuk melakukan pembaharuan semula skim perumahan berusia 40 tahun ini melalui projek pembaharuan semula kerana unit perumahan sedia ada kini hanya berkeluasan 300 hingga 400 kaki persegi dan hanya mempunyai dua bilik.

“Oleh itu, apabila projek ini dibangunkan, kita dapat menyaksikan pertambahan daripada 11,70 unit kini kepada 2,688 unit selain turut dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan seperti kolam renang, kompleks penjaja baharu serta kompleks pasar awam.

 

“Setiap penduduk di skim perumahan ini akan menerima satu unit kediaman dengan keluasan tidak kurang daripada 600 kaki persegi yang mengandungi tiga bilik serta dua tandas secara percuma apabila ia siap kelak,” katanya pada sidang media dekat Taman Free School, sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ R. Rajendran; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Barathi; wakil-wakil daripada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) serta ahli-ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Datuk Keramat.

Jagdeep Singh Deo menunjukkan ilustrasi projek pembaharuan semula Flat Taman Free School.

Jagdeep berkata, Flat Taman Free School menjadi projek kedua selepas Flat 5 Blok di Lorong Mahsuri, Bayan Baru bagi projek pembangunan semula perumahan oleh kerajaan Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang kita telah mengenal pasti lima skim perumahan lama untuk projek pembaharuan semula yang mana satu daripadanya iaitu Flat 5 Blok di Lorong Mahsuri, Bayan Baru akan dimulakan tidak lama lagi.

“Dokumen tender untuk projek ini sudahpun selesai dan berharap ia dapat dimulakan tidak lama lagi selepas pelantikan jururunding selesai pada Mac 2023.

Bersama wakil MBPP dan ahli-ahlijawatankuasa MPKK Datuk Keramat.

“Selain itu, kita juga telah mengenal pasti beberapa lagi skim perumahan termasuk di Seberang Perai iaitu di Mak Mandin dan Taman Siakap serta Rumah Pangsa Padang Tembak di bahagian pulau yang merupakan skim perumahan terbesar dan yang paling lama di negeri ini,” jelasnya lagi.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga sedang meneliti beberapa lagi skim perumahan bagi projek pembaharuan semula yang akan diumumkan pada tahun depan selepas mesyuarat Lembaga LPNPP yang pertama diadakan,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung aspek perundangan yang menjadi kekangan kepada projek pembaharuan semula kini.

“Saya akan serahkan senarai permohonan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, antaranya mengenai isu perundangan yang memerlukan Kerajaan Persekutuan meminda undang-undang sedia ada atau menggubal undang-undang baru bagi projek pembaharuan semula,” katanya.

Sementara itu, Rayer menyatakan keyakinan bahawa Exco dan Menteri berkaitan mampu menyelesaikan masalah-masalah melibatkan isu perumahan khususnya rumah mampu milik yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa peka dan sensitif terhadap keperluan perumahan mampu milik dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Saya berharap dengan kempimpinan baharu di Putrajaya akan dapat mengatasi masalah kekurangan perumahan mampu milik terutamanya di negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN