RFP projek RMM sulung LPNPP jangka dibuka Oktober ini

Admin

GEORGE TOWN – Projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) yang bakal dimajukan pertama kali oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dekat Bukit Gedung, Bayan Baru kini dalam proses penyediaan dokumen secara tender terbuka.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika sidang media di sini sebentar tadi.

Jagdeep berkata, pada ketika ini pelaksanaan kerja-kerja ukur tanah telahpun selesai dan Proposal Permohonan Cadangan (RFP) secara tender terbuka dijangka dapat dibuka seawal bulan Oktober ini selama tempoh satu bulan.

Jelasnya, berkemungkinan kerja-kerja pembinaan akan ditawarkan kepada pemaju yang layak pada Disember 2021.

“Projek sulung RMM Bukit Gedung ini akan dibangunkan di atas sebidang tanah berkeluasan 7.6 ekar dengan meliputi 253 unit jenis RMM kategori B dengan keluasan 700 kaki persegi dan 1,014 RMM kategori C3 di bawah harga siling RM300,000.

“Pelbagai kelengkapan dan kemudahan termasuk 21 unit komersial tiga tingkat akan disediakan di projek LPNPP Bukit Gedung ini,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah LPNPP.

Menurut Jagdeep, pembangunan RMM berkenaan adalah projek sulung di antara 10 projek yang telah dikenal pasti akan dibangunkan LPNPP sendiri di seluruh lima daerah di negeri Pulau Pinang.

“Kesepuluh projek pembangunan RMM di bawah LPNPP bakal merangkumi 20,912 unit keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha dalam memperjuangkan pembinaan RMM kepada rakyat Pulau Pinang dan telah menyasarkan sehingga 220,000 unit dapat disediakan menjelang 2030,” tambahnya.

Terdahulu, Jagdeep bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Polis Daerah Timur Laut (DTL), ACP Sofian Santong melakukan pemeriksaan Program Penang Saring COVID-19 (PSC 19) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Menurutnya, seramai kira-kira 8,000 orang telah mendaftar dan 6,603 orang yang telah selesai disaring untuk tempoh dua minggu pertama.

“Daripada jumlah (6,603) ini, 6,452 orang adalah negatif manakala 151 orang didapati positif COVID-19 dan mereka ini telah diarahkan untuk menjalani saringan kedua dan mendapati bahawa 81 daripadanya kekal positif.

“Jumlah positif (81) ini adalah kira-kira satu hingga dua peratus daripada keseluruhan yang disaring, justeru saya menyeru semua rakyat untuk mengambil peluang untuk melakukan saringan percuma komuniti secara bersasar ini.

“Ia adalah penting untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan juga komuniti kerana apabila didapati positif kita dapat mengasingkan individu berkenaan seklai gus mengurangkan risiko perebakan,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING