‘Riserve price’ tender MBSP tidak dirahsiakan mulai tahun depan – Datuk Bandar

Admin
DATUK Bandar serta pasukannya pada acara gimik pelancaran Pelan Tindakan Antirasuah 2022 MBSP di Menara Bandaraya petang tadi.

SEBERANG JAYA – Mulai tahun 2022, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak lagi merahsiakan ‘harga yang diingini’ atau riserve price bagi semua projek yang ditenderkan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

SR. Rozali Mohamud

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa langkah itu diambil bagi menyemarakkan lagi amalan integriti dalam kalangan kakitangan MBSP serta penduduk Seberang Perai.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Tindakan Antirasuah 2022 MBSP yang diraikan serentak dengan Majlis Sambutan Bulan Integriti peringkat lokal.

“Di bawah Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025, tiap-tiap tahun kita akan keluarkan pelan tindakan antirasuah supaya isu-isu yang kita hadapi dari semasa ke semasa boleh ditangani.

“Dengan tidak dirahsiakan lagi ‘rizab price’ iaitu harga yang diingini pada peringkat jabatan, semua pihak yang mahu membida tender di bawah MBSP boleh mengakses segala maklumat (sekali gus) dapat mengelakkan amalan rasuah serta ‘menjual’ maklumat tender,” jelasnya selepas berucap pada majlis berkaitan di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 26 November 2021.

Turut serta, pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta beberapa Ahli Majlis bagi PBT berkenaan.

(Dari kiri) BADERUL Amin Abdul Hamid, Sr. Rozali Mohamud dan seorang Ahli Majlis MBSP lain seusai acara sambutan majlis berkaitan tadi.

Terdahulu, Rozali dalam ucaptamanya menggariskan empat strategi bagi menjayakan Pelan Tindakan Anti Rasuah 2022 MBSP iaitu memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam; mempertingkat keberkesanan dan ketelusan perolehan awam; menginstitusikan kredibiliti penguatkuasaan undang-undang dan memupuk tadbir urus baik dalam PBT.

“Di bawah Pelan Tindakan Antirasuah MBSP Tahun 2022 telah menggariskan sebanyak 45 program dan 65 aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022,” jelasnya.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus memperkasakan pendigitalan perkhidmatan MBSP demi menyemarakkan lagi amalan integriti awam berkaitan.

“MPSP akan terus menerokai Teknologi Industri 4.0 melalui projek bandar raya pintar dengan melancarkan Cyber Counter yang pertama di Malaysia yang membolehkan orang awam mengakses dan berurusan dengan kesemua 100 perkhidmatan di kaunter secara dalam talian tanpa hadir ke Kaunter Pusat MBSP.

“Ini juga usaha ke arah integriti yang mana dengan berurusan melalui mesin dapat mencegah amalan rasuah.

“Integriti bukan sahaja bercakap mengenai agenda memerangi rasuah, malah aspek kecekapan perkhidmatan dan kerja-kerja dalam kalangan kakitangan MBSP sendiri,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB