RM1.15 juta kurangkan beban pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah tahun ini

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak RM1,149,600 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha membantu mengurangkan beban golongan pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di negeri ini bagi tahun 2022.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM562,500 dibayar kepada 1,523 orang pemandu teksi dan 352 pengusaha bas sekolah sempena Tahun Baru Cina.

Katanya lagi, baki RM587,100 lagi telah dibayar yang melibatkan seramai 1,574 orang pemandu teksi dan 383 pengusaha bas sekolah semasa perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Zairil Khir Johari (dua dari kanan) menyampaikan cek replika kepada wakil pengusaha bas sekolah di negeri ini.

“Insentif sebanyak RM300 ini dibayar secara tunai sebanyak dua kali setahun kepada golongan pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah iaitu sempena Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Namun demikian, susulan negara dilanda pandemik COVID-19, bayaran telah dilakukan secara Electronic Fund Transfer (EFT) mulai tahun 2020.

“Kemudian pada tahun 2022, bayaran insentif ini telah dinaik taraf dan ditambah baik dengan menggunakan sistem iSejahtera yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Justeru, kini permohonan boleh dibuat oleh pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah secara atas talian tanpa perlu mengemukakan borang permohonan dan dokumen sokongan secara fizikal,” katanya pada sidang media dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri; Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pulau Pinang, Ang Beng Teong dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Seberang Perai, Tan Chin Lee.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga menyatakan bahawa sehingga kini sebanyak RM15.48 juta telah pun disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui insentif tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 2013.

Sidang media yang diadakan dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Saya berharap insentif yang diberi ini digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah dalam urusan seharian.

“Sebagai duta kecil kepada Kerajaan Negeri, diharapkan semua pemandu teksi dapat menjaga imej baik terutama ketika membawa pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan pintu sempadan telah dibuka dan sektor pelancongan semakin rancak.

“Bagi pengusaha bas sekolah pula, berilah perkhidmatan yang terbaik kepada murid-murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan ini,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN