RM1.5 juta pulih tapak pelupusan sampah Jelutong

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

JELUTONGPerbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama M.E.I Konsultan Sdn. Bhd. merancang melaksanakan satu kajian selama tujuh bulan mengenai kaedah pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong di sini yang dianggarkan menelan kos RM1.5 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, M.E.I. sebagai badan pakar antarabangsa turut diminta mengkaji punca berlakunya kebakaran di kawasan terbabit.

Beliau berkata, M.E.I. akan bekerjasama dengan CH2M Hill, iaitu satu lagi badan pakar antarabangsa dalam bidang alam sekitar, rawatan sisa air dan rawatan bekalan air, bagi menyediakan cadangan menyeluruh berhubung projek memulihara tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Mereka (M.E.I. dan CH2M Hill) turut mempunyai kepakaran pengurusan geoteknikal dan projek. Pasukan tersebut bakal meliputi pakar dalam bidang tempatan dan antarabangsa.

“Pasukan ini amat memahami cara-cara pembangunan semula dan mengenal pasti kawasan di mana penjimatan kos boleh dibuat.

“Usaha pemulihan ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memulihkan kawasan tersebut yang kerap berlaku kebakaran dan masih lagi menerima sisa buangan marin (lumpur) dan batu-batu,” ujarnya pada satu siding media di Komtar baru-baru ini di sini.

Timbalan Pengurus Besar PDC, Iskandar Basha Abdul Kadir, Kon Chee Min (Direktor CH2M Hill Malaysia Sdn. Bhd.) dan Ir. Dr. Goh Teik Cheong (Eksekutif Direktor M.E.I. Konsultan Sdn. Bhd.) turut hadir di sini.

Sementara itu, Teik Cheong berkata, kajian yang bakal dibuat oleh pihaknya antara lain akan menumpu pada aspek risiko yang bakal ditanggung oleh masyarakat sekeliling di negeri berkenaan.

“Kita perlu mengkaji jenis-jenis pembuangan yang terdapat di atas tapak pelupusan tersebut dan apakah cara terbaik yang boleh digunapakai.

“Oleh itu, kita memerlukan kira-kira tempoh tujuh bulan bagi menjalankan kajian ini secara menyeluruh, bagaimanapun, ianya bergantung kepada faktor cuaca.

“Proses pemulihan ini memerlukan satu jangka masa. Strategi pengurusan sisa yang terbaik harus dirancang selepas proses kajian dilakukan agar sisa-sisa masa depan tidak akan mempengaruhi proses pemulihan tersebut,” ujarnya.