RM1.65 juta kos naik taraf Kompleks Sukan dan Rekreasi dekat Jalan Betik dibiayai Kerajaan Negeri – Exco

SOON Lip Chee (duduk) bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri lain semasa melawat tapak kerja-kerja penarafan trek balapan di Kompleks Sukan dan Rekreasi dekat Jalan Betik di sini menjelang tengah hari tadi.

PADANG LALANG – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini meluluskan peruntukan kira-kira RM1.65 juta untuk kerja-kerja menaik taraf trek balapan di Kompleks Sukan dan Rekreasi dekat Jalan Betik di sini.

 

SOON Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata pihaknya sejak tahun 2019 telahpun memohon peruntukan berkaitan daripada Kerajaan Persekutuan, namun tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana kemudahan sukan sedia ada mesti segera diperbaiki untuk digunakan pada sesi latihan sekalian atlet negeri.

“Paling penting adalah kemudahan sukan sedia ada mesti terus diselenggara dan pada masa sama mesti membangunkan projek infrastruktur yang diperlukan untuk sukan serta belia bergantung pada keperluan semasa di peringkat lokal.

“Jumlah RM1.65 juta ini 100 peratus daripada Kerajaan Negeri, ‘kosong’ daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak projek penarafan tersebut pada 15 Oktober 2021.

 

CHONG Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Mohamed Akbar Mustapha; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Menurut Lip Chee lagi, pihaknya pernah memohon peruntukan untuk projek-projek penarafan kemudahan sukan negeri daripada Syed Saddiq Abdul Rahman (bekas Menteri Belia dan Sukan) sempena penganjutan program Fit Malaysia Tahun 2019, namun tidak sempat diluluskan ekoran peralihan tampuk kepemimpinan peringkat Kerajaan Persekutuan.

Selepas itu, Chong Eng menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama pihak Lip Chee atas kelulusan projek penarafan berkaitan di sini.

“Memang menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memperbanyak kemudahan untuk komuniti melazimi aktiviti bersukan.

“Di samping itu, dengan adanya fasiliti sukan yang lebih baik, akan memberi manfaat kepada MSNPP dan juga atlet negeri dalam menjalani latihan yang lebih baik sebelum saingan Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya.

 

MOHAMED Akbar Mustapha

Nada sama turut dikongsi oleh Mohamad Akbar.

Buletin Mutiara difahamkan, proses pengiklanan panggilan tender bagi projek penarafan tersebut diadakan pada 21 April lepas.

Sementara kerja-kerja di lapangan yang bermula pada 11 Oktober 2021 akan mengambil masa 10 minggu serta dijangka siap pada 19 Disember 2021.

Kerja-kerja penarafan yang akan dilakukan adalah melibat trek larian sintetik, sistem saliran serta peralatan bagi trek balapan dan padang untuk arena lari berhalangan, pit lompat jauh, lontar peluru, membaling tukul besi serta melempar cakera dan lompat bergalah.

 

HARRY Chai Heng Hua

“Kesemua kelengkapan ini mestilah mematuhi Standard World Athletics requirements atau IAAF,” kata Lip Chee lagi.

Bercakap pada sidang media sama, Heng Hua memaklumkan bahawa 45 orang daripada keseluruhan 128 atlet olahraga negeri untuk SUKMA menjalani sesi latihan di Kompleks Sukan dan Rekreasi dekat Jalan Betik akan dipindahkan ke fasiliti lain di negeri ini, sepanjang tempoh 10 bulan projek penarafan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS