RM100 sebulan kadar sewa iklan pondok bas MPSP

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

SOON Lip Chee menunjukkan salah sebuah pondok bas yang telah disewa oleh syarikat swasta bagi mengiklankan produk mereka.
SOON Lip Chee menunjukkan salah sebuah pondok bas yang telah disewa oleh syarikat swasta bagi mengiklankan produk mereka.

SEBERANG PERAI – Bagi menambah hasil pendapatan untuk membantu memantapkan status kewangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), syarikat-syarikat yang berminat untuk menyewa pondok-pondok bas bagi tujuan pengiklanan dan mempromosi syarikat masing-masing adalah terbuka kini.

Cadangan bagi menyewakan pondok bas milik MPSP yang dikemukakan Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee pada Mesyuarat Majlis Penuh MPSP pada tahun 2010 dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa
syarikat swasta tempatan di sini.

Sehingga kini, sebanyak 50 buah pondok bas MPSP sedang disewakan bagi tujuan pengiklanan oleh syarikat swasta. Secara keseluruhan, sehingga 13 Oktober 2011, jumlah keseluruhan pondok bas milik MPSP di seluruh Seberang Perai adalah sebanyak 864 buah.

Menurut Lip Chee, kadar sewa yang dikenakan kepada penyewa adalah serendah RM100 setiap bulan. Manakala, kos penyelenggaraan, pembersihan, pembaikan dan bil elektrik akan ditanggung oleh syarikat yang menyewa berkenaan.

Tambah beliau lagi, MPSP masih membuka peluang kepada syarikat-syarikat yang berminat samada menyewakan pondok bas MPSP sedia ada dan memasang iklan atau meruntuhkan pondok bas sedia ada dan membina pondok bas baru dan memasang iklan pada pondok bas berkenaan tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Kepada sesiapa yang berminat, boleh membentangkan corak iklan berserta surat kepada Jabatan Penilaian MPSP dan nyatakan lokasi pondok bas yang ingin disewa. Pemohon tidak dibenarkan untuk menyewa pondok bas yang telah atau sedang disewa oleh syarikat lain.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Penilaian MPSP di talian 04 – 549 7497, 7496, 7778. Pemohon juga boleh kemukakan surat atau hubungi Pegawai Penilaian iaitu Encik Lattif atau Penolong Pengarah Penilaian iaitu Encik Syahril.

Syarat-syarat sewa :
1. Pemohon perlu membayar deposit sebanyak RM300 untuk sebuah pondok bas.
2. Bayaran sewa harus dijelaskan setiap bulan.
3. Penyewa perlu meletakkan logo ‘Cleaner Greener Penang’ (Pulau Pinang Bersih Hijau) di setiap pondok bas.