RM134.76 juta diperlukan untuk selenggara skim rumah rakyat tahun ini, Jagdeep beritahu Putrajaya lagi

JAGDEEP Singh Deo (empat dari kiri) diiringi R.S.N. Rayer (dua dari kiri) dan Lim Siew Khim (dua dari kanan) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan wakil MC pangsapuri Taman Jelutong Jaya seusai sidang media di sini pada pagi tadi.

SUNGAI PINANG – Setakat ini sejumlah 297 skim perumahan awam dan swasta sedia ada di negeri Pulau Pinang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan berwajib seperti naik taraf lif serta penggantian tangki air.

Sehubungan itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa pihaknya berharap permohonan peruntukan berkaitan berjumlah RM134.76 juta yang dimohon oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi tahun 2022 segera mendapat maklum balas daripada Kerajaan Pusat.

“Kita (Kerajaan Negeri) memberi keutamaan pada projek-projek kritikal seperti penaiktarafan dan penggantian lif serta tangki air dahulu.

“Kita juga mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk membantu kita kerana mereka juga ada Tabung Penyelenggaraan Malaysia (PPM) dan Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

“Kita mahu sedikit maklum balas mengenai peruntukan untuk tahun (2022) ini…kalau boleh disegerakan kelulusan berdasarkan permohonan peruntukan yang dibuat sebelum ini,” jelasnya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bantuan bagi membiayai 80 peratus kos penggantian dua lif baharu di Blok B Pangsapuri Taman Jelutong Jaya di sini pada 26 Januari 2021.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu Kerajaan Negeri di bawah Tabung Penyelenggaraan 80 Peratus Maksimum Pulau Pinang (TPM80PP) meluluskan permohonan pada kadar maksimum sejumlah RM261,000; sementara baki 20 peratus atau RM29,000 yang sepatutnya dibiayai Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Jelutong Jaya akan ditanggung oleh pihak Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Bercakap pada sidang media sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; dan Pengerusi MC Taman Jelutong Jaya, Koh Eng Hooi masing-masing menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Jagdeep serta Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) kerana meluluskan peruntukan projek penyelenggaraan perumahan berwajib.

Difahamkan, sehingga kini sejumlah RM290.55 juta daripada empat jenis tabung penyelenggaraan perumahan yang wujud di negeri ini telahpun dibelanjakan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Itu, tidak termasuk peruntukan tahunan daripada Kerajaan Negeri bagi tahun 2022 yang berjumlah RM22.5 juta.

“Peruntukan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di skim perumahan awam dan swasta ini mungkin akan bertambah, bergantung pada keperluan kritikal pada masa hadapan bagi tahun ini (2022),” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING