RM17.3 bilion pelaburan: PBT perlu pantas jadi pemudah cara utama pembangunan

Admin
img 20260912 wa0023

BERTAM – Rekod RM17.3 bilion pelaburan pembuatan diluluskan Pulau Pinang bagi separuh pertama tahun ini bukan sekadar angka ekonomi, sebaliknya menuntut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkukuh peranan sebagai pemudah cara utama bagi memastikan pertumbuhan tersebut diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kejayaan menarik pelaburan berskala global perlu disokong ekosistem perbandaran yang mantap, cekap dan berdaya tahan, termasuk dari aspek infrastruktur pintar, pengurusan sisa serta daya huni bandar.

“Realitinya, kejayaan pelaburan berskala global ini tidak akan bermakna tanpa sokongan ekosistem perbandaran yang mantap.

“Di sinilah letaknya peranan kritikal PBT sebagai enabler atau pemudah cara.

“Apabila pelaburan masuk, permintaan terhadap infrastruktur pintar, pengurusan sisa cekap dan daya huni bandar raya akan meningkat secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta lebih 1,000 delegasi PBT dari seluruh negara.

img 20260912 wa0009img 20260912 wa0025img 20260912 wa0011

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Pulau Pinang, Jason H’ng Mooi Lye; barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman.

Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Dato’ Sri Mohd. Fadzli Mohd. Kenali; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selaku Tuan Rumah Konvensyen, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony antara yang turut hadir.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan bagi separuh pertama 2026, meningkat 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu, kata beliau, juga menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan pelaburan pembuatan negara, sekali gus meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri peneraju utama negara dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, Kon Yeow menegaskan bahawa PBT tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai entiti yang mengawal selia pembangunan atau menyediakan perkhidmatan asas, sebaliknya perlu tampil sebagai rakan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Tambah beliau, menerusi tema konvensyen “Sinergi MADANI PBT Lestari, Persekitaran Harmoni”, terdapat tiga kerangka utama yang perlu diperkukuh bagi membentuk hala tuju baharu kerajaan tempatan.

“Pertama, Anjakan Paradigma Kepimpinan, dengan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) PBT perlu berperanan sebagai Chief Executive Officers dan City Strategists yang berpandangan jauh serta membuat keputusan strategik berasaskan data.

“Kedua, Kerjasama Merentasi Sempadan, khususnya dalam menangani isu yang tidak mengenal sempadan pentadbiran seperti banjir kilat, kesesakan lalu lintas dan alam sekitar.

“Ketiga, Tadbir Urus Berpaksikan Rakyat, dengan kejayaan sesuatu inisiatif tidak seharusnya diukur melalui kecanggihan aplikasi atau sistem semata-mata, tetapi berdasarkan impak sebenar terhadap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Di Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa pendekatan tersebut diterjemahkan menerusi Visi Penang2030 dan Strategi Daya Tahan Pulau Pinang (PRS) yang mengintegrasikan penyesuaian iklim ke dalam pelan guna tanah PBT.

img 20260912 wa0021img 20260912 wa0026

Kon Yeow turut mengetengahkan pencapaian dua PBT negeri sebagai contoh amalan terbaik dalam memperkukuh tadbir urus serta kelestarian perbandaran.

MBPP menurut beliau, berjaya memperoleh pensijilan ISO 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) serta Sijil Kualiti ESG daripada SIRIM, manakala MBSP terus memperkukuh peranan sebagai model perbandaran rendah karbon menerusi ekonomi kitaran (circular economy) dan pengurusan kewangan mampan bersama komuniti.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut merasmikan Pelancaran Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) Secara Atas Talian serta menyampaikan Anugerah Penarafan Bintang PBT Tahun 2026 yang menyaksikan MBPP dinobatkan sebagai pemenang tempat ketika bagi Kategori Bandaraya dan layak membawa pulau sebuah trofi, sijil penghargaan serta peruntukan projek pembangunan (PB1) berjumlah RM500,000.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, beliau menyifatkan transformasi digital itu sebagai langkah penting dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran tempatan, namun menegaskan pengiktirafan tersebut bukan ukuran mutlak kejayaan PBT.

“Penarafan bintang bukanlah matlamat akhir, sebaliknya pengiktirafan sebenar terletak pada senyuman, kepuasan dan kepercayaan rakyat di lapangan.

“Pastikan setiap sen wang awam ditadbir dengan prinsip amanah dan akauntabiliti bagi memberikan value for money yang optimum kepada landskap persekitaran kita,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow turut menyeru lebih 1,000 delegasi memanfaatkan platform konvensyen selama dua hari itu untuk bertukar pandangan serta membawa pulang amalan terbaik bagi memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam di lokaliti masing-masing.

Sementara itu, Kor Ming ketika berucap memberitahu bahawa sebanyak 109 PBT di seluruh negara mencatatkan penurunan penarafan dalam Sistem SPB-PBT 2026, manakala hanya empat PBT merekodkan peningkatan.

Menurutnya, sebanyak 41 PBT mengekalkan penarafan masing-masing daripada keseluruhan 154 PBT yang dinilai pada tahun ini.

Beliau menyatakan bahawa keputusan itu tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan, sebaliknya menjadi isyarat jelas bahawa masih terdapat ruang besar untuk PBT memperbaiki prestasi dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan.

“Kita tidak mahu sikap masuk bakul angkat sendiri atau syok sendiri kerana itu tidak mencerminkan prestasi yang sebenar.

“Apabila kita perkenalkan rangka reformasi, saya dengan telus berharap kesemua PBT mengadaptasi dan membuat perubahan positif supaya PBT disanjung, dihormat dan disenangi rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebanyak 32 PBT menerima penarafan lima bintang, 60 PBT empat bintang, 44 PBT tiga bintang, 13 PBT dua bintang dan lima PBT satu bintang.

“Penilaian tahun ini telah melalui reformasi dengan memperkenalkan penilaian dalam talian sepenuhnya, peralihan daripada indikator output kepada outcome serta pengintegrasian elemen tadbir urus dan integriti pihak ketiga.

“Malah, penilaian ini memperuntukkan lima peratus kepada Public Service Corruption Ranking (PSCR) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lima peratus kepada Sijil Ketua Audit Negara.

“Justeru, kecemerlangan PBT tidak boleh hanya diukur berdasarkan kecekapan perkhidmatan, tetapi perlu turut disokong oleh integriti dan pengurusan kewangan yang baik,” ujarnya.

Pada acara tersebut jua, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Daerah Mersing diumumkan tempat pertama dalam Anugerah Penarafan Bintang PBT mengikut kategori masing-masing.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN

img 20260912 wa0016img 20260912 wa0018img 20260912 wa0024img 20260912 wa0013