RM180 juta pastikan kehidupan rakyat Pulau Pinang kekal selamat – Ketua Menteri

KETUA Menteri (depan, tiga dari kiri) di Komtar petang tadi menjelaskan mengenai komitmen Kerajaan Negeri hari ini bersama-sama rakyat Pulau Pinang mendepani pandemik COVID-19.

GEORGE TOWN – Sejak penularan COVID-19, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang membelanjakan kira-kira RM180 juta demi memenuhi keperluan kelengkapan perubatan dekat hospital-hospital di seluruh negeri ini sekali gus memastikan kehidupan penduduk di negeri ini kekal selamat.

KETUA Menteri

Daripada angka itu juga, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri turut membuat perbelanjaan lain berkaitan penyediaan logistik; mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC); Pusat Pemberian Vaksin (PPV); Hospital Medan Kepala Batas; bantuan semasa kepada pasukan keselamatan; Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, Program Penang Saring COVID-19 dan lain-lain berkaitan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menggesa kepada Menteri berkaitan supaya mengarahkan hospital swasta untuk meningkatkan kapasiti operasi perawatan pesakit COVID-19 sehingga 30 peratus demi merosotkan tekanan operasi rawatan pesakit COVID-19 yang sedang dialami di hospital-hospital awam Pulau Pinang kini.

Kon Yeow berkata demikian semasa mengulas kenyataan Ketua Jabatan Kecemasan & Trauma, Hospital Pulau Pinang, Dr. Kwanhathai Darin Wong yang menyebut bahawa semua kemudahan berkaitan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital-hospital awam dengan melibatkan 70 katil semasa ini digunakan sepenuhnya untuk merawat pesakit kritikal.

“Kita (Pulau Pinang) perlu menambah katil-katil oksigen dan wad-wad di hospital awam serta meningkatkan keupayaan PKRC.

“Hospital swasta juga perlu menambah kapasiti katil kepada tahap 30 peratus demi menyokong pesakit-pesakit COVID-19.

“Kita harap cadangan ini pun dapat dipertimbangkan oleh Menteri yang baharu,” gesanya dalam sidang media berhubung situasi semasa COVID-19 negeri Pulau Pinang di sini pada 30 Ogos 2021.

Tambah beliau, sepatutnya sumber tenaga sektor perkhidmatan kesihatan negara di negeri tertentu wajar dikerahkan ke negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 begitu tinggi, termasuk Pulau Pinang.

“Pentadbiran saya sendiri kini giat mengadakan perbincangan dengan pihak hotel bagi menambah kemudahan luaran kepada pesakit Kategori 1 dan Kategori 2 yang ingin menjalani tempoh kuarantin di luar kediaman masing-masing,’’ ulasnya lanjut.

DR. Rafidah Md. Noor

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Rafidah Md. Noor menjelaskan bahawa sehingga 29 Ogos 2021 menyaksikan 54 peratus rakyat Pulau Pinang yang berusia 18 tahun dan ke atas telah lengkap mendapat dua suntikan vaksin, manakala 82 peratus telah mendapatkan satu dos.

“Bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam komuniti terus berleluasa, penduduk Pulau Pinang perlu mendapatkan vaksinasi lengkap (dua dos suntikan).

“Unjuran JKNPP pada hujung Oktober 2021, 80 peratus penduduk Pulau Pinang (populasi dewasa) akan menerima vaksin lengkap,” ujarnya.

Beliau turut meminta mereka yang mengalami gejala seperti sesak nafas supaya segera menghubungi pusat panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), 04-3827143/142 atau talian kecemasan 999.

Pada majlis sama, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain turut menjelaskan mengenai tahap keselamatan awam serta langkah-langkah penguatkuasaan susulan daripada peningkatan kes positif COVID-19 di Pulau Pinang belakangan ini.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKNPP, Dr. Nur Aslina Bahakodin dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS