RM2.2 juta tangani risiko banjir sekitar Taman Bunga Raya – Zairil

Admin

SUNGAI PUYU – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa pihaknya meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 juta untuk kerja-kerja mengurangkan lagi risiko banjir di sekitar kawasan perumahan lama dekat Taman Bunga Raya; Taman Sin Tat dan Jalan Thamby Kecil.

Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memulakan proses tender projek pada hujung tahun ini dan kerja-kerja pemajuan dijangka mengambil masa 18 bulan.

Jelasnya lagi, skop kerja meliputi pemajuan kolam takungan di Taman Bunga Raya; pam Taman Bunga Raya; penarafan sistem perparitan di taman sedia ada yang berusia lebih 40 tahun; serta membina dua parit lencongan 1 dan 3 masing-masing dekat Tesco Bagan Ajam dan Jalan Thamby Kecil.

“(Melalui) pelaksanaan projek ini, kita (Kerajaan Negeri) dapat bantu banyak pihak dan mengurangkan lagi risiko banjir,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga kepada komuniti setempat di sini pada 18 Julai 2020.

ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar; Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal); Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri, Ir. Shukri Muslim; dan Penolong Jurutera MBSP, Mohd. Shukri Mohd. Arshad antara yang turut serta dalam sidang media berkaitan.

Mengulas lanjut Zairil memaklumkan bahawa sejak tahun 2017 kira-kira 11 kali kawasan-kawasan perumahan terbabit dilanda banjir, dengan kejadian bencana paling teruk adalah pada tahun 2017.

“Anggaran sebanyak 200 buah rumah telah mengalami bencana terbabit dan ketinggian paras banjir yang pernah direkodkan adalah sebanyak (kira-kira) 600 milimeter (mm) (atau dua kaki),” jelasnya.

Menjawab soalan pemimpin komuniti setempat selepas itu, Zairil memberitahu bahawa pihak Kerajaan Negeri pada tahun 2018 telahpun membuat kajian berwajib bagi mengatasi masalah malar segar iaitu banjir di sini.

“Kajian berkenaan telah siap untuk diguna pakai sebagai salah satu langkah dalam mengurangkan risiko banjir yang mendatang,” jelasnya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB