RM2.482 juta disalurkan kepada guru dan institusi pendidikan Islam Pulau Pinang, meningkat 39.32 peratus

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM2.482 juta untuk disalurkan kepada guru-guru dan semua institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Jumlah itu meningkat sebanyak RM700,000 atau 39.32 peratus pada pada tahun ini berbanding RM1.78 juta pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, peningkatan jumlah bantuan tersebut membolehkan sejumlah 304 buah institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerima manfaat pada tahun ini.

Ir. Ahmad Zakiyuddin menyerahkan cek kepada salah seorang penerima sumbangan.

“Bantuan tahunan kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memartabatkan umat Islam agar terus maju dan cemerlang serta tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri yang kian pesat.

“Ini adalah kali ke-11 Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan tahunan kepada seluruh Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan institusi pendidikan Islam di negeri ini sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008.

“Justeru, saya berharap agar sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambah baik pengurusan pentadbiran sekolah dan pembelajaran anak-anak kita selain meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran pelajar,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Dato’ Mohammad Shalir Abdul Hamid; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long serta dif-dif jemputan kehormat yang lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, menjelaskan bahawa sebanyak 102 Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh negeri turut menerima bantuan pada tahun ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menaikkan bantuan kepada guru-guru KAFA Integrasi daripada RM300 sebelum ini kepada RM500 pada tahun ini melibatkan seramai 900 orang guru,” jelasnya lagi.

Difahamkan, sumbangan disalurkan kepada 11 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (RM338,000); 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM211,600) dan 12 buah Sekolah Rendah Agama Rakyat (RM432,500).

Turut menerima sumbangan adalah 40 buah Maahad Tahfiz (RM204,040); 102 buah Sekolah Agama Rakyat – KAFA Integrasi (RM807,550); 16 buah Tadika Islam (RM50,800); 10 buah Sekolah Pondok (RM100,000) dan 102 buah KAFA Tulen turut menerima sumbangan berjumlah RM337,800

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS