RM20 juta belanja Kerajaan Negeri untuk pembangunan masjid, surau sejak 2008 – ADUN Pengkalan Kota

Admin

PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun sehingga 2018 telah menyalurkan lebih RM20 juta peruntukan khusus untuk projek pembangunan masjid dan surau di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian ketika merasmikan projek penarafan Surau Al-Falah yang menelan belanja sejumlah RM19,060.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya turut menyumbang RM10,000 dalam projek penarafan surau tersebut, susulan menerima permohonan berwajib daripada Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Falah, Md. Mustaffa Maidin.

“Sememangnya menjadi amanah dan tanggungjawab saya untuk menjaga, membantu kerja-kerja menaik taraf infrastruktur awam serta kemudahan komuniti di sini.

“Sumbangan ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur awam setempat, bahkan menjadi simbol usaha bersama-sama ADUN dan pemimpin komuniti setempat dalam memartabatkan pembangunan umat Islam,” jelasnya dalam majlis berkaitan yang berlangsung pada 20 Disember 2018.

Pada 9 November lalu, Daniel Gooi dalam soalan bertulis di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ada membangkitkan mengenai jumlah peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri untuk projek pembangunan surau serta masjid dalam tempoh 10 tahun sejak 2008.

Menjawab soalan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyatakan bahawa sejumlah RM20,374,305 peruntukan telahpun disalurkan untuk 765 projek pembangunan surau dan masjid.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD