RM3.096 juta bina semula SAR Bertam Putra, jangka siap Ogos ini

Admin

BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan RM3,096262 melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi pelaksaaan projek pembinaan semula sekolah Agama Rakyat (SAR) Bertam Putra, di sini.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara, Ir. Mohd. Zuwairi Samsuddin berkata, pelaksanaan projek tersebut kini berada pada tahap 99 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Projek bina semula Sekolah Agama Rakyat Bertam Putra kini mencapai 99 peratus.

“Projek ini sepatutnya siap pada 2 September 2022, namun kita berjaya percepatkan kira-kira tiga peratus daripada jadual asal, dan projek ini dijangka siap lebih awal iaitu pada bulan Ogos.

“Selepas melakukan penyambungan bekalan air dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang dijangka pada minggu depan, maka, bangunan ini akan diserahkan kepada JHEAIPP sebelum tarikh yang ditetapkan,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas memberi taklimat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena lawatan beliau ke tapak projek berkaitan sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Senator Dewan Negara, Lim Hui Ying; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Rashid; Ketua Penolong Bahagian Pendidikan JHEAIPP, Faizal Ibrahim, Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ramai lagi.

Ketua Menteri mendengar taklimat daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Utara.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKR selaku agensi pelaksanaan kerana dapat menyiapkan projek berkenaan lebih awal berbanding yang dijadualkan.

“Bangunan ini merupakan kemudahan penting untuk masyarakat setempat kerana kita tahu para pelajar sekarang sedang mengikuti pelajaran di surau-surau dan premis-premis yang disewa khas.

“Maka dengan siapnya bangunan ini, lebih 200 pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam suasana yang lebih selesa,” katanya sambil menyatakan bahawa kos pembangunan turut dikurangkan berbanding peruntukan asal.

Bersama guru-guru KAFA dan wakil-wakil berkaitan.

Sementara itu, Faizal menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan peruntukan untuk menambah baik institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Ketua Menteri khasnya Kerajaan Negeri yang telah memberi peruntukan kepada JHEAIPP untuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelajar sekolah agama terutamanya bagi mengikuti pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA),” ujarnya.

Difahamkan, projek pembinaan semula SAR Bertam Putra adalah melibatkan sebuah bangunan akademik empat tingkat, rumah sampah dan rumah pam serta dewan serbaguna terbuka.

Selain itu, bangunan tersebut juga dilengkapi dengan 11 bilik darjah yang mampu memuatkan sehingga 275 pelajar dan dibina dengan ciri-ciri mesra orang kurang upaya (OKU).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS