RM37,500 bantuan pendidikan MAINPP untuk Nor Adillah

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Kesusahan belajar tanpa bantuan pendidikan serta tajaan seorang bakat Pulau Pinang dalam pengajian bidang perubatan Universiti Zagaziq dekat Mesir yang dikongsi dalam portal berita The Malaysian Insider baru-baru ini akhirnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, bantuan pendidikan berjumlah RM37,500 yang diberikan kepada pemohon, Nor Adillah Md. Yusop, 24, diharap dapat melunaskan separuh daripada yuran pengajian tertunggak di universiti berkenaan.

“Majlis Agama (MAINPP) menyalurkan bantuan pendidikan dan bukan biasiswa kepada pelajar-pelajar dalam dan luar negara yang memenuhi syarat telah ditetapkan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di Pejabat MAINPP Butterworth di sini baru-baru ini.

Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ustaz Rosli Othman (Pegawai di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang) turut hadir pada majlis tersebut.

Laporan The Malaysian Insider antara lain mendedahkan kegagalan Nor Adillah melangsaikan yuran pengajian mengakibatkan pentadbiran Universiti Zagaziq menyekat keputusan peperiksaan penuntut berkenaan.

Akibatnya, Nor Adillah dlaporkan mengaku bahawa beliau tidak mampu  mengemukakan transkrip peperiksaan tahunan sebagaimana disyaratkan JAINPP untuk memproses permohonan bantuan pendidikan berwajib.

Justeru, Mohd. Salleh berkata, pihaknya akan berbincang dengan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mengenai syor Kerajaan Negeri menghantar seorang pegawainya sama ada daripada MAINPP atau JAIPP untuk menguruskan isu berbangkit tentang kebajikan mahasiswa di Timur Tengah.

“Walaupun di peringkat Jabatan Agama (JAIPP), kita sudah ada pegawai menguruskan (bahagian bantuan pendidikan) di sini, tetapi, kita harap ada pegawai di peringkat negeri menguruskan anak-anak Pulau Pinang seperti Nor Adillah yang belajar di Timur Tengah,” ujar Mohd. Salleh.