RM450,000 naik taraf kemudahan riadah Taman Komuniti Hijau di Taman Pauh Jaya

Admin

SEBERANG JAYA – Sejumlah RM450,000 diperuntukan untuk menaik taraf Taman Komuniti Hijau dekat Taman Pauh Jaya bagi membangunkan kawasan hijau dan menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat untuk beriadah.

Peruntukan tersebut disalurkan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membangunkan projek berkaitan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kerja-kerja naik taraf dijangka bermula minggu hadapan dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh 16 minggu iaitu 13 Disember ini.

“Setelah projek siap sepenuhnya, penduduk akan dapat menikmati kemudahan seperti laluan pejalan kaki sepanjang 810m (meter), dataran kejat (250m), gelanggang serbaguna (480m), satu set alat permainan bersepadu, tiga set alat senaman, 59 perabot taman yang terdiri daripada bangku dan bollard konkrit, pokok-pokok teduhan, sistem perparitan bawah tanah sepanjang 500m dan pencahayaan ‘Mini LED Highmast’.

“Taman ini akan berwajah baharu dengan kelengkapan yang lebih baik dan universal, malah ianya mesra kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi menggunakan taman ini untuk beriadah,” katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah projek naik taraf Taman Komuniti Hijau, Taman Pauh Jaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Whip merangkap Ahli Majlis MBSP, Shuhada Abdul Rahim, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Landskap, Fatimah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seberang Perai Tengah (SPT) merangkap Pengerusi KRT Taman Pauh Jaya Fasa 6, Datuk Abdul Rahim Darus.

Difahamkan selain JLN dan MBSP, projek berkaitan turut melibatkan proses kumpulan tumpu bincang yang terdiri daripada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Belah Dua, Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Pauh Jaya.

Mengulas lanjut Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memaklumkan bahawa tanah lapang di kawasan itu penting dalam mewujudkan suasana kondusif, sekaligus mencapai ‘Sustainable Development Goals’ terhadap kehidupan komuniti.

“Selain usaha MBSP untuk memberikan perkhidmatan perbandaran terbaik kepada rakyat di kawasan Seberang Perai, pejabat saya juga akan melihat kepada taman-taman sedia ada di Seberang Jaya untuk dinaik taraf dan membina taman-taman baru yang dapat mewujudkan jalinan di antara taman-taman ini,” tambah beliau.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD