RM5.843 juta perkasa sektor agromakanan, RM3.943 juta fokus sawah padi

Admin
img 20261105 wa0035

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM5.843 juta bagi memperkasa sektor agromakanan negeri sepanjang tahun 2026, dengan RM3.943 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan produktiviti dan kemudahan infrastruktur sawah padi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, peruntukan di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) itu meliputi pelaksanaan pelbagai projek termasuk penyelenggaraan stesen pertanian, penggunaan teknologi dron, kawalan perosak dan penyakit serta kerja-kerja membaik pulih sistem saliran.

Menurutnya, pelaksanaan projek sawah padi dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 melibatkan peruntukan RM2.943 juta dan Fasa 2 sebanyak RM1 juta.

“Fasa 1 melibatkan perkhidmatan dron dan pembekalan input kawalan perosak, penyakit serta rumpai di Seberang Perai Tengah, selain penyediaan parit ladang dan pemulihan tanah jerlus di Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Selatan.

“Fasa 2 pula melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur serta penyelenggaraan parit dan tali air di Blok K5 dan K6, Skim Pengairan Sungai Kulim, Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Jelasnya, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan memperbaik keadaan sawah dan pengurusan air, meningkatkan keberkesanan kawalan perosak serta memudahkan operasi ladang bagi menyokong peningkatan hasil dan pendapatan pesawah.

Selain itu, peruntukan PPAN turut merangkumi usaha menaik taraf sistem pengairan dan saliran, membangunkan kawasan berpotensi untuk tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan, selain memperluas penggunaan teknologi fertigasi pintar dan Internet of Things (IoT).

Dalam perkembangan berkaitan, Rashidi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penambakan tanah, pembangunan atau penjualan lot yang tidak mematuhi peraturan, khususnya di kawasan jelapang padi yang mempunyai kepentingan strategik kepada pengeluaran makanan negeri.

Katanya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap aktiviti kerja tanah tanpa kebenaran, termasuk melalui peruntukan Seksyen 70(A) Akta Jalan, Parit dan Bangunan yang memperuntukkan kompaun maksimum RM25,000.

“Selain itu, tindakan pendakwaan boleh diambil di bawah Seksyen 19(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan lot sawah yang tidak mempunyai kelulusan perancangan dan menasihatkan bakal pembeli membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi.

Menjawab soalan ADUN Permatang Berangan berhubung bekalan beras putih tempatan, Rashidi bersetuju bahawa isu berkenaan perlu diberikan perhatian serius memandangkan beras merupakan makanan ruji rakyat.

Walau bagaimanapun, katanya, dasar penetapan harga beras putih tempatan dan harga lantai belian padi terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha membawa perkara ini kepada perhatian kementerian dan agensi berkaitan, khususnya dari sudut kos sebenar yang ditanggung pesawah serta kelangsungan rantaian industri padi dan beras,” katanya.

Beliau menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan pesawah menikmati persekitaran pengeluaran lebih baik, kos operasi terkawal dan hasil tanaman dapat ditingkatkan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat bantuan mekanisasi, penggunaan dron, perkongsian jentera dan penerapan teknologi pertanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah kerja yang lebih intensif kos.

Malah, satu lagi pendekatan yang sedang diteroka ialah penggunaan teknologi padi ratun bagi meningkatkan produktiviti serta mengoptimumkan pengeluaran padi di Pulau Pinang.

Menurut Rashidi, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Fujian Agriculture and Forestry University (FAFU), China, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi dan kepakaran.

Teknologi padi ratun membolehkan tanaman padi tumbuh semula daripada tunggul selepas penuaian, sekali gus berpotensi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kekerapan penuaian.

“Kerajaan Negeri sedang meneliti kesesuaian teknologi ini melalui kajian dan percubaan lapangan dengan penglibatan Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum diperluas kepada pesawah di Pulau Pinang,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS