RM5 juta cadangan projek bina masjid di bandar Batu Kawan – TKMI

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap cadangan pembinaan sebuah masjid baharu di bandar Batu Kawan dengan anggaran peruntukan kira-kira RM5 juta dapat disiapkan mengikut jangkaan tempooh masa pada akhir tahun 2021.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, projek pemajuan masjid meliputi kawasan perkuburan orang Islam tersebut, melibatkan tanah seluas 4 ekar, milik agensi Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Ada tiga tapak masjid yang dirancang projek pemajuan, selain tapak kubur untuk orang Islam di Bandar Batu Kawan ini.

“Di sini, adalah salah satu tempat fasa awal yang akan dimajukan dulu…melibatkan anggaran peruntukan RM5 juta, iaitu RM3.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (RM1.5 juta),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat ketika melawat tapak cadangan projek pemajuan masjid tersebut di sini pada 26 Ogos 2019.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Farazi Johari; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang (JHEINPP), Zulkifli Long.

Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa projek pemajuan masjid tersebut akan dilaksanakan melibatkan PDC dan Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD