RM500,000 untuk SAR Muhammad Hawari, umum Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Yeoh Soon Hin (kiri sekali) dan Haryany Mohamad (kanan sekali) menyampaikan sumbangan berkaitan kepada Safiyyah Tang Xie Li, iaitu isteri kepada Muhammad Hawari Hashim di kediaman mereka di sini pada 24 Mei 2023.

SUNGAI DUA – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada hari ini bersetuju menyalurkan sumbangan RM500,000 bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di Gunung Everest sejak Jumaat lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri perlu kongsi beban kos SAR Muhammad Hawari.

“Mesyuarat Exco (MMK) telah memutuskan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 atau RM0.5 juta yang akan disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan khas terhadap keluarga Muhammad Hawari. Malah, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan khas daripada beliau sendiri kepada Safiyyah Tang Xie Li, iaitu isteri kepada Muhammad Hawari Hashim.

Tambah Kon Yeow, pentadbirannya akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang merupakan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa.

Di samping itu, beliau dengan diiringi Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad turut menjelaskan mengenai inti sesi telesidang semalam bersama-sama Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak mengenai SAR Muhammad Hawari sehingga 28 Mei 2023.

“Kita serahkan kepada pasukan SAR untuk melakukan SAR di sana (yang mana) Haryany akan menjadi wakil penghubung dengan pihak SAR dan kelab (berwajib) di sana,” katanya lagi dalam nada sederhana.

Serentak pada majlis sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong turut menyampaikan sejumlah sumbangan dana kepada Safiyyah.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat turut sertai acara ziarah keluarga Muhammad Hawari tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : AHMAD ADIL MUHAMMAD