RM6.7 juta projek minimum risiko banjir di Permatang Tinggi siap

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK – Projek pembinaan parit lencongan (bypass channel), penarafan rumah pam serta kerja-kerja pembaikan infrastruktur mengurangkan risiko bencana banjir di sekitar kawasan Permatang Tinggi yang siap sepenuhnya menelan belanja RM6,689,136.70.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek penarafan lima unit pam berkenaan akan mempertingkatkan keupayaan mengepam aliran Parit 4 semasa hujan lebat, melancarkan kadar aliran air dari Permatang Tinggi ke Sungai Junjung, sekaligus mengurangkan risiko banjir kilat di sini kelak.

“JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk menaik taraf rumah pam sedia ada kepada yang berkapasiti lebih tinggi, iaitu lima buah pam dengan kapasiti 2 meter padu per saat (3 unit), 1 meter padu per saat (seunit) dan 0.5 meter padu sesaat (2 unit).

“Jumlah kapasiti kelima-lima pam tersebut adalah 7.5 meter padu per saat berbanding 0.9 meter padu per saat terdahulu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian pada Majlis Perasmian Rumah Pam Permatang Tinggi di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota serta Pengarah JPS Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Guan Eng, sejumlah RM150 juta diperuntukan kepada JPS untuk melaksanakan sembilan projek tebatan banjir di negeri ini.

Kon Yeow pula memberitahu, peruntukan RM150 juta itu adalah selepas disusun semula projek di bawah rancangan tebatan banjir (RTB) kemungkinan boleh melaksanakan 10 hingga 11 projek tebatan banjir mengikut keutamaan.

“Terdapat 47 hotspot banjir, iaitu lima di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (11), Daerah Seberang Perai Selatan (9), Seberang Perai Tengah (11) dan Daerah Seberang Perai Utara (11), yang perlu diberi perhatian di negeri Pulau Pinang.

“Dengan RM150 juta ini, untuk mengurangkan kejadian banjir kilat di 11 lokasi hotspot banjir kilat sahaja…baki 36 hotspot banjir akan diselesaikan secara berperingkat, iaitu melalui projek tebatan banjir, sama ada menggunakan peruntukan negeri, caruman perparitan atau persekutuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sabri menyatakan bahawa pihaknya berjanji akan memastikan projek RTB lembangan Sungai Pinang dimulakan segera mungkin, paling lewat pada hujung tahun ini.

Terdahulu, Kerajaan Pusat pada pertengahan bulan November lalu mengumumkan kelulusan peruntukan RM150 juta untuk Pulau Pinang, sungguhpun anggaran kos minimum untuk fasa kedua RTB Sungai Pinang yang dimohon oleh JPS adalah kira-kira RM350 juta.

Pusat meluluskan peruntukan tersebut selepas Guan Eng mengumumkan kelulusan segera peruntukan sejumlah RM665,000 untuk JPS melaksanakan tujuh RTB berskala kecil ketika fenomena hujan lebat, limpahan air sungai dan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bahagian pulau.

Pada 15 November lalu di persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Guan Eng mengumumkan sejumlah RM220 juta untuk pengurusan pencegahan banjir dalam Bajet 2017 Pulau Pinang yang merupakan peruntukan paling besar dalam sejarah belanjawan negeri ini.