RM68.7 juta bangunkan pasar awam pertama di Bandar Cassia, jangka siap 2025

Admin

BUKIT TAMBUN – Agensi Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melaksanakan projek pembinaan pasar awam pertama di Bandar Cassia dengan kos sebanyak RM68.7 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pasar awam dan kompleks penjaja tersebut dibangunkan di atas tanah milik PDC seluas 7.69 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Pasar awam dan penjaja ini dibina di lokasi yang cukup strategik iaitu berdekatan dengan beberapa kawasan perumahan dan hanya sejauh 3 kilometer (km) dari Jeti Batu Musang.

Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menyempurnakan gimik pelancaran pembinaan pasar awam dan penjaja pertama di Bandar Cassia di sini sebentar tadi.

“Selain itu, projek pembangunan ini juga merangkumi beberapa komponen utama seperti pasar awam yang mempunyai 160 ruang penjaja, sebuah kompleks makanan yang menempatkan 52 unit gerai, 753 pakir kenderaan dan lain-lain.

“Pembinaan projek ini dibahagikan kepada dua fasa yang mana fasa pertama melibatkan kerja dan rawatan tanah manakala fasa kedua pula merangkumi pembinaan bangunan dan infrastruktur,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran projek berkaitan di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Pengarah Kerja Raya Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid serta wakil-wakil berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa fasa pertama pembangunan projek tersebut telah bermula pada 7 November 2022 dan dijangka siap pada 6 Januari 2024.

Meneliti pelan pembangunan pasar awam Bandar Cassia.

“Selepas itu, fasa kedua akan menyusul dengan pembinaan bangunan serta infrastruktur yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025.

“Kerajaan Negeri yakin dengan siapnya projek ini kelak, ia dapat memberi nilai tambah di kawasan Seberang Perai Selatan, sekaligus membolehkan rakyat dapat menjana peluang pendapatan serta menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar kerja-kerja pembinaan projek ini berjalan lancar dan disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Aziz memberitahu bahawa pembinaan projek pasar awam penjaja tersebut merupakan salah satu tunai syarat oleh MBSP untuk sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi pembangunan Pangsapuri Suria 1 Batu Kawan.

“Setelah siap, bangunan pasar awam dan penjaja ini akan diserahkan kepada pihak MBSP bagi tujuan milikan dan pengurusan,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSHAD OMAR
Video : LAW SUUN TING