RM7, RM14 dan RM21 kadar zakat fitrah di Pulau Pinang tahun ini

Admin
a451257c 77bb 4412 b164 066a4b4b412e

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7, RM14 dan RM21 bagi tahun 1445M/2024M.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata penetapan tiga kadar tersebut adalah bertujuan memberi peluang kepada umat Islam yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan mengikut kemampuan.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah melantik seramai 1,699 orang amil bagi melaksanakan kutipan zakat.

“Sebanyak 237 pusat kutipan bagi memungut Zakat Fitrah di seluruh negeri termasuk kaunter-kaunter cawangan ZPP dibuka sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan pembayaran zakat.

“Selain melalui amil yang dilantik, ZPP juga ingin menggalakkan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat menunaikan zakat fitrah mereka melalui kaedah dalam talian yang disediakan seperti melalui portal zakatpenang2u.com dan JomPay,” ujarnya semasa Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali serta beberapa pengurusan tertinggi.

47da8992 37e0 4c48 a6bc fa298ad500f3
SEKITAR majlis berkenaan baru-baru ini.

Mohamad berkata, ZPP menyasarkan jumlah kutipan zakat fitrah tahun ini mencecah RM7 juta melibatkan 829,304 penduduk beragama Islam di Pulau Pinang.

db2282a5 31a2 4f54 b1e5 298f19498841
DATO’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM260,000 sebagai sumbangan Ehya’ Ramadan kepada masjid-masjid dan surau Jumaat pada tahun ini.

“Sebanyak 250 buah masjid dan surau Jumaat di Pulau Pinang bakal menerima manfaat bagi tujuan pengimarahan masjid sepanjang tahun iaitu melibatkan sebuah masjid negeri, masjid daerah (6), masjid kariah (208), masjid biasa (14) serta surau Jumaat (21).

“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut cakna akan kepentingan umat Islam di negeri, oleh itu sumbangan sebanyak RM1 juta bakal diberikan kepada tujuh buah masjid utama negeri Pulau Pinang (Masjid Negeri dan enam masjid daerah),” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS