AIR ITAM – Kerajaan Negeri terus memperkasakan pembangunan kemudahan sukan menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM772,000 bagi menaik taraf gelanggang sepak takraw di Kampung Melayu, Air Itam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, usaha secara berperingkat sejak 2021 itu kini melengkapkan kawasan berkenaan dengan tiga gelanggang sepak takraw berbumbung yang boleh dimanfaatkan komuniti setempat, termasuk untuk penganjuran kejohanan dan aktiviti sukan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan sukan yang selesa dan berkualiti kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil berat tentang kebajikan rakyat, malah pembangunan sukan juga diberi perhatian. Kita mahu kawasan ini menjadi tempat yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat, khususnya golongan muda,” ujarnya ketika meninjau gelanggang tersebut yang siap dinaik taraf dengan kemudahan bumbung di sini pagi tadi.

Beliau memberitahu, pada 2021 sebanyak RM162,041.55 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf lantai simen sebelum RM98,861 diperuntukkan pada 2022 bagi kerja-kerja pembersihan semak samun di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Padang Suria.
Pada tahun yang sama, katanya, sejumlah RM161,161 peruntukan daripada Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) pula digunakan bagi pembinaan semula bangunan dan tandas di kawasan berkenaan.
“Keperluan menyediakan bumbung turut diberi perhatian selepas kemudahan gelanggang yang tersedia sebelum ini tidak dapat digunakan secara optimum, terutama ketika cuaca panas dan hujan.
“Dengan usaha bersama Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, satu peruntukan RM350,000 diluluskan pada 2025 bagi menyiapkan tiga gelanggang sepak takraw berbumbung.
“Konsepnya fleksibel kerana tiang dan kerusi boleh dialihkan, jadi apabila semua itu dialihkan, kawasan ini boleh digunakan sebagai ruang terbuka untuk pelbagai aktiviti,” jelasnya.
Difahamkan, setelah siap, gelanggang tersebut mendapat permintaan menggalakkan, terutamanya daripada sekolah-sekolah berhampiran dan klinik sepak takraw.
“Ini merupakan satu usaha bersama semua pihak untuk menjadikan tapak ini sebagai kemudahan yang lebih baik dan terbuka kepada masyarakat.
“Kita akan benarkan orang ramai menggunakannya dan yang penting, kemudahan ini dijaga serta dimanfaatkan sebaiknya.
“Kalau ada pihak yang mengatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya menjaga kebajikan sesetengah bangsa, saya jemput mereka datang dan lihat sendiri perkembangan yang berlaku di Pulau Pinang,” tegasnya.
Gambar : SIEW CHIA EN