RM840,000 nilai pinjaman disalurkan melalui Skim Peka 2.1

Admin
GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Yeoh Soon Hin memaklumkan bahawa sejumlah RM840,000 nilai pinjaman telah disalurkan melalui Skim Peka 2.1 sehingga 15 Mac 2021.
Jumlah tersebut melibatkan 21 permohonan yang diluluskan oleh Ahli Jawatankuasa Penilaian Skim 2.1 sejak mula dibuka pada 28 Disember 2020 sehingga 19 Mac lalu.
Selain itu, jelas Soon Hin, bagi Skim Pinjaman Tanpa Faedah Dana Permulaan Industri Ekonomi Kreatif pula, sebanyak 32 permohonan telah diterima bagi tempoh 22 Januari 2021 hingga 19 Mac 2021.
“Pinjaman ini adalah bertujuan untuk membantu penggiat-penggiat industri kreatif di negeri Pulau Pinang yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika membentangkan pencapaian dan perancangan portfolio pada Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 di sini pada 29 Mac 2021.
Baki Skim Peka 2.0 pula kata Soon Hin, sejumlah RM2,585,000 telah disalurkan kepada 77 pemohon yang layak.
“Pejabat PETACE juga telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk memberikan moratorium bagi pemohon Skim Peka 2.0 yang mana peminjam boleh mengemukakan permohonan ini selama enam bulan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Bantuan moratorium ini juga dipanjangkan kepada semua peminjam Skim Peka PKS (perusahaan kecil dan sederhana) di bawah pakej rangsangan ekonomi negeri Pulau Pinang pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa bagi meringankan beban kewangan dan membantu aliran tunai penggiat-penggiat industri pelancongan, Kerajaan Negeri telah mencadangkan bantuan secara moratorium kepada sektor pelancongan.
“Bantuan ini termasuk kepada hotel, tempat tarikan pelancongan, taman tema dan pengusaha pelancongan seperti bil air, cukai petak atau cukai tanah, cukai pintu dan fi lesen perniagaan bagi tahun ini.
“Selain itu, sebarang caj penalti atas tunggakan bil air dan cukai-cukai yang disenaraikan serta fi lesen perniagaan sektor turut dikecualikan sepanjang tempoh moratorium ini,” ujarnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD