RM9.3 juta naik taraf stesen atas Bukit Bendera, tingkat selesa pengunjung

AIR PUTIH – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) bakal melaksanakan fasa empat projek penarafan Stesen Atas Bukit Bendera dengan kos berjumlah RM9.3 juta.

Inisiatif tersebut adalah demi meningkatkan keselesaan serta kapasiti pengunjung sehingga 700 orang pada satu-satu masa berbanding kini (kira-kira 200).

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya memberi jaminan bahawa segala rekabentuk projek berskala besar tersebut adalah mesra alam serta mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) 2016 dan RKK (Penggantian) 2020.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk meningkatkan keselesaan pengunjung dan menjadikan Bukit Bendera destinasi pelancongan utama pada masa hadapan.

“Projek (penarafan) ini perlu mencapai pengiktirafan emas bagi ‘Green Building Indeks’ (GBI),” jelasnya yang juga Pengerusi PHC pada acara majlis pecah tanah projek tersebut di puncak Bukit Bendera dekat sini pada 20 Mac 2021.

Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong; ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang .

ILUSTRASI fasa empat projek penarafan Stesen Atas Bukit Bendera yang dilancarkan pada pagi ini di sini.

Menurut Kon Yeow, projek tersebut adalah meliputi kerja-kerja memperluas kawasan menunggu serta mempertingkatkan kemudahan di Stesen Atas Bukit Bendera.

“Kami (Kerajaan Negeri) berhasrat untuk mengekalkan elemen hijau sedia ada seperti pokok-pokok di sekitar kawasan ini untuk mengekalkan estetika serta tarikan semula jadi kawasan puncak Bukit Bendera,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Selain itu, tambah Kon Yeow, rekabentuk bangunan yang akan dibina kelak juga lebih mesra untuk semua golongan terutama pengunjung berusia serta orang kurang upaya (OKU).

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa PHC akan membangunankan sistem pengurusan ‘smart queue’ (JustQ 2.0) secara dalaman di Stesen Atas Bukit Bendera sebagaimana yang telah ada di Stesen Bawah Bukit Bendera.

“Pengunjung hanya perlu sampai ke stesen sebaik sahaja nombor giliran mereka dipanggil…(yang mana) mereka boleh mendapatkan nombor giliran melalui kaunter tiket serta jadual waktu daripada panel paparan atau kod QR yang disediakan di kemudahan utama di atas puncak bukit tersebut,” ulasnya.

Sebelum itu, Pengurus PHC, Dato’ Cheok Lay Leng menyatakan bahawa projek berskala besar tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas.

“Kerja-kerja menaik taraf projek ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING