GEORGE TOWN – Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2025 tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan Road to PBIM 2025 menampilkan acara ‘pemanas badan’.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, acara dengan kerjasama Penang Forward Sports Club (PFSC) pada 21 Jun 2025 ini bertujuan mempersiapkan peserta sebelum acara maraton utama pada 14 Disember 2025.

“Road to PBIM 2025 merupakan siri larian persediaan untuk membina momentum menjelang PBIM yang merupakan salah satu maraton paling berprestij di Malaysia dan mampu menarik perhatian peserta antarabangsa,” ujarnya pad Majlis Pelancaran Road to PBIM 2025 di Aspen Central Park, Batu Kawan di sini, semalam.
Difahamkan acara akan bermula pada jam 6.30 pagi dengan penyertaan percuma melalui pendaftaran awal.
“Kita jangka penyertaan akan lebih 1,500 peserta tahun ini, ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Acara ini menawarkan dua kategori, 5 kilometer (km) dan 10km, yang sesuai untuk semua peringkat peserta, dari pemula hingga pelari profesional.
“Selain itu ia membawa manfaat besar kepada sektor sukan, pelancongan, meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan pelawat, dari segi penginapan hingga makanan, sekali gus merangsang ekonomi negeri,” jelas Hon Wai juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Aspen, A. Anilarasu.

Road to PBIM 2025 akan diadakan di empat lokasi berbeza di Pulau Pinang, termasuk di kawasan pulau dan Seberang Perai bagi memastikan mudah diakses oleh penduduk setempat dan pelawat.
“PBIM 2025 adalah lebih daripada sekadar larian, ia merangkumi gaya hidup sihat, komuniti, dan pelancongan. Saya menyeru semua untuk bersama-sama menyertai acara ini, sama ada sebagai pelari, sukarelawan, atau penyokong,” katanya.


Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS