Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal lawan perubahan iklim

Admin

GEORGE TOWN – Bagi menentukan hala tuju pengurusan sisa pepejal di negeri ini, satu dokumen Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal bakal disediakan tidak lama lagi, maklum Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

 

 

Menurut beliau, Roadmap tersebut bertujuan untuk menyediakan pelan menyeluruh dan holistik bagi menguruskan sisa pepejal secara lestari dan berkesan dengan kos yang efektif bagi tempoh 30 tahun akan datang sehingga tahun 2050.

 

 

“Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri telah melantik Syarikat Usains Infotech Sdn Bhd. (Universiti Sains Malaysia) yang terdiri daripada penyelidik yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sisa pepejal.

 

 

“Selain itu, dokumen ini diperlukan untuk menyelaras perancangan dan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan pertindihan kerja dan pembaziran.

 

 

“Kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Pulau Pinang ini juga dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran-sasaran Visi Penang2030 iaitu menyalurkan 300 tan sisa organik kepada teknologi baharu rawatan sisa pepejal dan mencapai 70 peratus kadar kitar semula negeri menjelang tahun 2030,” ujar Jagdeep pada Bengkel Kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Pulau Pinang dekat sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Penyelaras Projek Kajian Roadmap Usains Infotech Sdn. Bhd., Ts. Dr. Mohamad Anuar Kamaruddin.

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata paling penting dalam pelaksanaan pelan tindakan tersebut adalah bagi menangani krisis perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia ketika ini.

 

 

“Melalui Roadmap ini juga kita berhasrat untuk memastikan pengurangan suhu di kawasan bandar sebanyak 1.5 darjah celsius dan 5 hingga 7 darjah celsius di kawasan teduh dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang sekali gus dapat mengurangkan kematian akibat strok haba.

 

 

“Selain itu, kita ingin mengatasi masalah banjir yang mengakibatkan kerugian harta benda, mengurangkangkan ancaman krisis dan memantapkan ketersediaan komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

Sebelum ini, Pulau Pinang turut melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menjadi sebuah negeri rendah karbon termasuk penukaran lampu jalan kepada jenis LED, penggunaan sistem Penang Smart Parking (PSP), pemasangan panel solar, 62 bangunan diiktiraf sebagai indeks bangunan hijau (GBI) serta penanaman 441,036 batang pokok.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR