Roboh gerai di Taman Seri Indah bersebab, Exco respons pembangkang

Admin
img 20251119 wa0152

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye menegaskan bahawa tindakan perobohan gerai di Taman Seri Indah dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong langsung tidak berkait dengan isu kaum atau agama.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa tindakan itu diambil berikutan kedudukan gerai-gerai yang terlibat dibina di jalan utama, sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas serta dianggap membahayakan keselamatan orang awam.

“Saya ingin meredakan nuansa asabiyah mengenai isu gerai-gerai milik orang Melayu di Taman Seri Indah yang dirobohkan sepertimana yang diungkapkan oleh Yang Berhormat Pulau Betong (Mohamad Shukor Zakariah).

“Ini bukan soal kaum mahupun agama, sebaliknya hasil semakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati bahawa aktiviti perniagaan tersebut dijalankan di tepi jalan utama.

“Tindakan adalah tidak dibenarkan mengikut garis panduan MBPP kerana menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas dan membahayakan keselamatan orang awam,” tegasnya dalam sesi Ucapan Penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada 19 November 2025.

Tegasnya lagi, MBPP akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh di kawasan tersebut dan tindakan akan diambil terhadap perniagaan-perniagaan baharu yang dijalankan tanpa lesen serta kedudukan gerai terletak di jalan utama.

“Saya turut mengalu-alukan sekiranya YB (ADUN Pulau Betong) mempunyai cadangan kawasan baharu yang sesuai untuk menempatkan peniaga-peniagan yang terlibat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mambuat celahan menyatakan bahawa beliau turut berdepan banyak isu gerai tanpa lesen semasa menjawat jawatan Exco Kerajaan Tempatan sebelum ini.

“Biasanya, pihak Kerajaan Tempatan akan menetapkan tarikh untuk pelaksanaan operasi pemutihan dan membuat penandaan terhadap gerai-gerai yang terlibat.

“Gerai-gerai yang bertanda ini akan dibenarkan beroperasi sementera menunggu penempatan baharu yang mana langkah ini tidak akan melanggar prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Semua tindakan yang diambil ini bukan kerana suka-suka, sebaliknya mengambil kira peraturan dan undang-undang,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN & DARWINA MOHD. DAUD