Pemantauan, rondaan yang kerap bantu pastikan pematuhan tahap tinggi

DEMI memastikan tahap kepatuhan orang awam berada pada tahap optimum, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) berwajib di dua daerah di bahagian pulau, akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

 

Skuad Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD mendekati salah seorang Ahli Majlis MBPP bagi mendapatkan pandangan berhubung inisiatif PBT berkenaan dalam membendung penularan COVID-19.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam MBPP, AHMAD AZRIZAL TAHIR mengakui tugasan yang dipikulnya bertambah berat dengan penularan pandemik yang menggemparkan seluruh dunia.

 

“Sejak pandemik bermula, pihak kami kerap mengadakan rondaan setiap hari ke premis-premis perniagaan atau tempat tumpuan awam seperti kawasan rekreasi dan riadah.

 

“Malah, pihak kami turut menjalankan rondaan secara bersepadu dengan kerjasama daripada pihak polis dan pasukan sukarelawan bagi memastikan kawasan liputan yang lebih meluas,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya pagi ini.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Azrizal memberitahu bahawa rondaan pada sebelah pagi lebih tertumpu di kawasan pasar-pasar awam dan pasar pagi.

 

“Sebelah tengah hari pula, lazimnya rondaan dilakukan di premis perniagaan makanan kerana waktu tersebut adalah waktu puncak dan sering menjadi tumpuan.

 

“Begitu juga awal malam dan kompleks membeli-belah yang mana pihak kami akan melakukan rondaan di kawasan yang sering jadi tumpuan untuk berkumpul seperti di Padang Kota Lama, Persiaran Gurney dan Jambatan Kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah),” katanya.

Ahmad Azrizal turut tidak menafikan bahawa aspek penjarakan fizikal masih boleh ditambah baik terutama di kawasan yang padat.

 

“Justeru, saya ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

 

“Apatah lagi dengan penularan kluster baharu yang turut menjejaskan status zon hijau di negeri ini baru-baru ini,” tegasnya.

 

Dalam tinjauan yang dilakukan oleh Skuad Buletin Mutiara pagi ini di sekitar George Town mendapati rata-rata premis akur dengan arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Bagi seorang pengawal keselamatan kedai emas, MD. SAAD HARUN yang sempat kami temui memaklumkan bahawa kebanyakan pengunjung sudah terbiasa dengan peraturan dan arahan yang diwajibkan oleh kerajaan seperti pemakaian wajib pelitup muka, saringan suhu badan dan rekod pengesanan kontak.

 

“Cuma kadang-kadang itu ada juga segelintir yang tidak memakai pelitup muka dengan betul, diletakkan di bawah dagu…dan kalau macam itu saya akan tegur semasa masuk ke kedai ini.

 

“Tetapi kalau berjalan-jalan di luar kedai ini, susahlah nak tegur, kalau tegur pun ada yang ‘melawan’ dan berkasar bahasa,” ceritanya.

Sementara itu, pemilik gedung pakaian di Little India, K. RAJENDAR, memuji tindakan MBPP dan pihak polis yang kerap melakukan rondaan dan pemantauan setiap hari.

 

“(Rondaan) ini perlu bagi memastikan orang ramai terus patuh arahan.

 

“Di premis perniagaan saya, memang pihak kami akan pastikan rekod bagi pengesanan kontak dilakukan termasuk menggunakan sanitizer dan saringan suhu badan sebelum masuk,” kongsinya yang berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh kerajaan dari masa ke masa dalam usaha membendung penularan COVID-19.

 

Secara umum, Skuad Buletin Mutiara mendapati pematuhan rakyat berada pada tahap tertinggi, malah rata-rata responden yang ditemui bertekad membantu pihak berkuasa dan kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

 

Ayuh, jadikan Amalan 4P sebagai rutin harian!

 

Ingat, Pakai pelitup muka dengan betul; Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter; pencucian tangan yang kerap dengan sabun; dan perhatikan gejala di sekeliling anda.

 

Penang Lawan COVID-19!