BERMULA dengan sekadar mencuba resipi dari laman YouTube, siapa sangka roti paun buatan tangan NORZIANA MAT NAYAN, 45, kini bertahan hampir 14 tahun sebagai pilihan sarapan dan kudapan masyarakat setempat.
Mengusahakan perniagaan roti paun sejak 2013, Norziana menyatakan bahawa beliau memulakan langkah secara kecil-kecilan di rumah sebelum berpindah ke tapak perniagaan yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas lebih setahun beroperasi.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT berkesempatan menemu bual Norziana untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai latar belakang perniagaannya.
Resipi asli Terengganu
Roti paun yang dihasilkan Norziana diinspirasikan oleh resipi tradisi Terengganu, dan hanya terdiri daripada empat perisa sahaja iaitu asli, kacang merah, kaya dan planta.
“Resipi asal saya belajar sendiri dari YouTube, kemudian saya mengimprovisasikannya mengikut kesesuaian dan selera pelanggan yang mana semua produk ini dibuat secara manual menggunakan tangan.
“Tidak lama kemudian, sekitar tahun 2016, saya mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperluaskan lagi variasi perisa bagi memenuhi cita rasa warga setempat yang datang berkunjung ke sini.
“Kini, lebih 25 perisa ditawarkan termasuk coffee cream cheese, butter cheese, ayam, ayam sos Korea, garlic sosej ayam, sosej cheese, tuna spicy, sardin dan piza meatball daging.
“Kami juga menghasilkan perisa ayam lada hitam, cendawan shitake, garlic cheese, almond cheese serta daging sos Korea yang menjadi antara jualan terlaris,” jelasnya semasa sesi wawancara khas di premisnya pada 14 Januari lalu.
Menurut Norziana, konsep roti paun yang dihasilkan adalah versi ‘berat’ dan mengenyangkan.
“Bentuk asal roti paun sememangnya besar tetapi kini saiznya dikecilkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang kebanyakannya bekerja di sekitar kawasan ini.
“(Pelanggan) nak senang bungkus dan makan, jadi saiz kecil lebih sesuai, harga juga mampu milik,” jelasnya.

Laris terjual
Setiap hari, Norziana memulakan operasi seawal jam 5 pagi dan akan menjual sehingga kapasiti pengeluaran tepung habis.
“Kapasiti pengeluaran harian sekitar 10 kilogram (kg), bergantung kepada tenaga kerja dan permintaan semasa.
“Terdahulu, saya menjalankan perniagaan ini bersama adik dan beberapa pekerja, tetapi kini hanya dibantu suami, Muhammad Zulhilmi Che Hussain, yang menyelaras di bahagian belakang termasuk penyediaan dan hiasan produk.
“Perniagaan roti paun juga menerima tempahan untuk mesyuarat dan majlis keraian di pejabat, dengan syarat pelanggan perlu membuat pesanan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.
“Semua proses membuat roti paun dilakukan secara manual, jadi saya memang perlukan tenaga kerja yang tahu cara menguli dan bentuk doh.
“Tambahan pula, roti paun tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana kualiti tekstur dan rasa sangat bergantung kepada cara penyediaannya,” tambahnya.

Kekal gred dan kualiti bahan
Mengulas mengenai cabaran, Norziana akui perniagaannya terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penutupan pejabat dan pelaksanaan kerja dari rumah.
“PKP merupakan waktu paling teruk yang mana pengeluaran turun sehingga dua atau tiga kilogram sahaja dalam sehari.
“Sekarang, syukur Alhamdulillah perniagaan kembali stabil walaupun masih bergantung kepada kehadiran para pekerja di pejabat sekitar kawasan ini.
“Walaupun berdepan kekangan seperti ruang parkir terhad, saya turut menyediakan servis penghantaran melalui tempahan Lalamove, jadi pelanggan tidak perlu susah payah datang ke sini.
“Saya juga faham kebanyakan daripada pelanggan hanya boleh membeli secara bungkus kerana ketiadaan parkir di kawasan berhampiran,” ujarnya.
Walaupun berdepan dengan cabaran keperluan tenaga kerja mahir, Norziana menegaskan bahawa kualiti bahan mentah tetap menjadi keutamaannya.
“Semua bahan yang digunakan untuk menghasilkan roti paun merupakan gred yang terbaik dan berkualiti.
“Bagi saya, walaupun prosesnya lebih penat kerana dibuat secara manual, kepuasan itu datang apabila pelanggan memberi maklum balas yang baik dan menyukai tekstur serta rasa roti paun yang dihasilkan.
“Saya tidak mengejar kuantiti besar tetapi yang paling penting pelanggan mendapat produk segar setiap hari.
“Selagi masih ada kudrat dan tenaga, saya akan teruskan perniagaan ini bersama-sama suami,” tegasnya menutup bicara.
Bagi yang berminat untuk membuat tempahan Roti Paun, boleh menghubungi Norziana di talian 011-6214 9913.