Rozali dilantik semula, angkat sumpah sebagai YDP MPSP

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang dilantik semula, hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Upacara angkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil disaksikan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Kon Yeow dalam pada itu menzahirkan ucapan tahniah atas lantikan semula Rozali berkuat kuasa 16 Ogos 2018 sehingga 31 Disember 2019.

“Sepanjang tempoh setahun lalu, sebagai Yang di-Pertua (YDP) MPSP, beliau berpegang terhadap prinsip kerjaya MPSP by Design Not by Chance yang turut diterapkan dalam kalangan warga kerja MPSP.

“Beliau juga memperkenalkan Management by Walking Around dalam memastikan ketua jabatan dan semua ketua unit hands on dalam isu-isu perbandaran di Seberang Perai.

“Saya yakin, dengan visi, misi, slogan dan nilai korporat yang diperbaharui ini, sasaran MPSP ke arah menjadi bandar rendah karbon dan pintar menjelang 2022 akan dicapai,” ujarnya yang turut menzahirkan keyakinan atas kepimpinan Rozali menerajui MPSP.

SR. Rozali Mohamud melafaz sumpah memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Bagi Rozali sendiri, beliau terharu atas lantikan semula berkaitan setelah kali pertama dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Julai 2017.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri hijau pertama di Malaysia.

“Malah, kami di MPSP juga sedang merangka Rancangan Strategik yang mempunyai 85 program dan 202 aktiviti untuk dilaksanakan ke arah menjadi bandar pintar dan rendah karbon.

“Saya percaya dengan keyakinan Kerajaan Negeri dan sokongan penduduk di Seberang Perai, segala perancangan MPSP akan dapat direalisasikan,” ulasnya.

Sepanjang perkhidmatan sebagai YDP MPSP, Rozali telah mengharumkan nama Seberang Perai dan MPSP dengan pelbagai pengiktirafan sama ada di peringkat negeri, nasional mahupun persada antarabangsa.

Malah, kejayaan meletakkan nama MPSP dan Negeri Pulau Pinang dalam Malaysia Book of Records sebanyak tiga kali menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa tempatan berkenaan menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon dan pintar di Malaysia.

 

Tahniah Dato’ Sr. Rozali Mohamud!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS