Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI peluang pemimpin dampingi rakyat

Admin

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa sambutan rumah terbuka adalah peluang kepada pemimpin tertinggi negara untuk mendampingi dan berjumpa dengan rakyat secara lebih dekat.

 

 

Menurut beliau, pihak yang mempolitikkan isu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI peringkat Pusat sebenarnya sudah kekeringan idea kerana masih memainkan kenyataan sama dalam tempoh yang panjang.

 

 

“Ini (rumah terbuka) sebenarnya membawa majlis kepada rakyat, sepatutnya dialu-alukan, kalau di Putrajaya pun hanya dapat menampung beberapa orang sahaja.

 

 

“Tidak mungkin orang dari Perlis misalnya nak memandu kereta sampai ke Putrajaya untuk hadir ke rumah terbuka.

 

 

“Nampaknya Perikatan Nasional (PN) tidak ada modal, isu seperti ini ‘digoreng’ sampai berhari-hari,” ujarnya pada sidang media di Padang Kota dekat sini pagi ini.

 

 

Mengulas lanjut, sekiranya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI dianggap membazir dan memancing undi, Kon Yeow turut membangkitkan soalan sama mengenai rumah terbuka Menteri Besar Kedah yang diadakan semalam.

 

 

“Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah pun ada buat rumah terbuka besar-besaran dan ramai yang hadir, jadi adakah ia juga memancing undi?” soalnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : ALISSALA THIAN