GEORGE TOWN – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang bakal diadakan pada 17 Februari 2026 di SPICE Arena, Bayan Baru.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan penganjuran tahun ini lebih istimewa apabila ia buat pertama kalinya dianjurkan pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina.
“Selain mengambil kira ketibaan bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Februari, penganjuran pada hari pertama perayaan ini turut memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan secara inklusif,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Majlis Rumah Terbuka, Lau Keng Ee; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman serta Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hon Meng.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa penganjuran majlis rumah terbuka tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap perayaan utama dapat diraikan secara harmoni dan inklusif, tanpa menjejaskan sensitiviti agama serta budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, majlis yang dijadualkan berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 4.30 petang itu terbuka kepada seluruh rakyat Pulau Pinang, dan dijangka menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, bersama isteri beliau, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
“Pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan kekayaan tradisi masyarakat Cina turut dirangka, termasuk nyanyian lagu-lagu tradisional, tarian singa serta persembahan 24 Festival Drum oleh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Phor Tay.
“Selain itu, majlis ini juga menampilkan persembahan khas oleh tiga remaja daripada golongan istimewa, sebagai simbol keterangkuman dan sokongan Kerajaan Negeri terhadap bakat semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Tambah Kon Yeow, penganjuran rumah terbuka ini bukan sekadar acara perayaan, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan, mempereratkan hubungan silaturahim serta memupuk sikap saling menghormati antara kaum dan budaya di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput seluruh rakyat negeri ini untuk hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026, selari dengan aspirasi Salam Penang2030 dan Malaysia Madani.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN