Rumah warisan dalam proses pewartaan

Mohd. Zulkharinine Abdul Aziz bergambar di hadapan rumah warisan yang terletak di Kampung Bagan Belat, Teluk Air Tawar.

JIKA dilihat dari segi luarannya, rumah kayu yang sudah usang dan hampir runtuh dekat Kampung Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara (SPU) ini seakan-akan tidak memberi sebarang nilai kepada masyarakat setempat.

Namun, tahukah kita bahawa rumah tinggal ini sebenarnya menyimpan banyak nilai warisan sejarah yang signifikan terhadap usaha pembebasan Tanah Melayu daripada penguasaan penjajah asing sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Berusia 131 tahun, rumah yang dibina oleh pemiliknya, Haji Hashim Itam atau lebih dikenali sebagai ‘Hashim Kerani’ pada tahun 1890 kini dalam proses untuk diwartakan sebagai rumah warisan bagi memelihara nilai budaya dan sejarahnya.

Salasilah

Bercerita lanjut, MOHD. ZULKHARININE ABDUL AZIZ, 54, yang merupakan cucu kepada Haji Hashim Itam memberitahu bahawa sentuhan seni bina rumah warisan tersebut adalah berasal daripada masyarakat Melayu Setol di Thailand.

Keadaan bahagian dalam rumah.

“Salasilah keluarga Haji Hashim Itam adalah berasal dari Baghdad, Iraq yang kemudiannya berhijrah ke Satun di Siam (Thailand) pada tahun 1871, sebelum berpindah ke Pulau Pinang.

“Sebab itulah kalau kita lihat bukan sahaja seni binanya mempunyai pengaruh masyarakat Setol (Satun), malah semua bahan binaan rumah ini juga dibawa khas dari sana.

“Uniknya, seni bina asal rumah ini ialah tandas dan ruang mandi berada di atas,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan lawatan ke rumah warisan itu baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.

Tambah beliau, rumah tersebut pernah dipindahkan ke Padang Benggali semasa zaman penaklukan Jepun pada tahun 1941, dan kemudiannya kembali ke tapak asal pada 1945 iaitu selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Ooi Yong Wooinmenunjukkan kaedahnpemasangan tiang rumah warisan yang menggunakannkayu pasak.

“Masa zaman Jepun, lapangan terbang dibina di kawasan berdekatan, jadi kawasan kampung di sekitar terpaksa berpindah ke kawasan lain.

“(Dan) atas sebab inilah (pindah tapak) saya difahamkan rumah ini dikatakan belum memenuhi kriteria untuk diwartakan sebagai rumah warisan sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai peribadi Haji Hashim, Mohd. Zulkharinine menjelaskan bahawa tokoh tempatan itu pernah dilantik sebagai ‘kerani besar’ di Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada tahun 1954 iaitu semasa zaman penjajahan Inggeris.

“Pada masa itu, jawatan kerani besar mempunyai kedudukan yang sangat tinggi pada masa sekarang ia sama level dengan Pegawai Daerah.

Rumah warisan bakal dipulihara untuk dijadikan galeri.

“Haji Hashim mempunyai latar pendidikan tinggi dan beliau merupakan antara orang Melayu terawal yang mempunyai sijil kelulusan Senior Cambridge serta merupakan antara pemimpin utama Umno (The United Malays National Organisation) di kawasan Bagan,” jelasnya.

Beliau berkata, warisan tersebut mempunyai nilai yang tersendiri terutamanya melibatkan sejarah kemerdekaan membabitkan penglibatan tokoh-tokoh terkemuka negara.

“Pada masa itu, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah) selalu datang bermesyuarat di sini bersama- sama Syeikh Abdullah Fahim Syeikh Ibrahim (Abdullah Fahim) serta Haji Hashim sendiri.

“Mereka akan datang ke sini untuk bermesyuarat sebelum Tunku Abdul Rahman berangkat ke London untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Jadi, boleh dikatakan rumah ini sebagai lokasi penting menjelang kemerdekaan dan mempunyai signifikan kepada kemerdekaan Tanah Melayu itu sendiri,” ulasnya.

Bakal dijadikan galeri

Dahalan Fazil.

Mengambil kira peranannya terhadap kemerdekaan negara, aktivis sejarah dan warisan Pulau Pinang, DAHALAN FAZIL berkata bahawa rumah warisan tersebut kini dalam proses untuk diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Memandangkan peranannya yang penting dalam sejarah kemerdekaan, rumah warisan ini kini akan diwartakan terlebih dahulu di bawah Jabatan Warisan Negara, sebelum kerja-kerja pemuliharaan dapat dilakukan.

“Pihak keluarga juga sudah bersetuju untuk kita baik pulih dan menjadikan rumah ini sebagai galeri untuk aktiviti pelancongan yang menyimpan sejarah kemerdekaan, warisan seni bina dan budaya serta warisan penenunan.

“Jika kita dapat wujudkan semula galeri ini, maka kita dapat memperkenalkan perusahaan warisan tempatan yang pernah wujud suatu masa dahulu terutamanya yang berkaitan dengan penenunan kain benang emas,” jelasnya.

Syukri Othman.

Seorang lagi aktivis sejarah, SYUKRI OTHMAN memberitahu bahawa antara cabaran yang dihadapi dalam proses pemuliharaan adalah kesukaran untuk mendapatkan bahan binaan asal yang digunakan untuk membina rumah tersebut.

“Ini bermakna, bahan binaan yang akan digunakan dalam proses pemulihan nanti mestilah menggunakan bahan sama atau hampir sama selain jurutera perlu mempunyai lesen konservator.

“Malah kita difahamkan, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan kajian mengenai struktur dan bahan binaan yang akan digunakan dalam proses pemuliharaan rumah warisan ini,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif HAASSolution iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam kerja-kerja menentukan bahan binaan bagi rumah warisan tersebut.

Siti Hajar Omar.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Senibina Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP, SITI HAJAR OMAR memaklumkan bahawa pemuliharaan rumah warisan tersebut dilihat mampu menarik lebih ramai lagi kehadiran pelancong ke negeri ini.

“MBSP melalui Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan telah memohon kepada Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang supaya rumah warisan ini diwartakan pada Oktober 2021 sekiranya ia memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

“Selepas diluluskan pada peringkat negeri, Pesuruhjaya Warisan (Negeri Pulau Pinang) kemudiannya akan memohon kepada Jabatan Warisan Negara sekiranya mempunyai keperluan untuk diwartakan di peringkat Persekutuan.

“Daripada segi kos pula, kita akan membawa permohonan kepada Jabatan Warisan Negara dalam bentuk geran,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar :NOOR SITI NABILAH NOORAZIS